Header Ads

Pilih waktu subur

Soalan: SAYA baru sahaja mendirikan rumah tangga sebulan yang lepas. Kami sudah bersedia untuk memiliki cahaya mata. Tetapi setiap kali bersama saya mendapati air mani suami saya meleleh keluar walaupun saya tidak bergerak. Apabila saya bangun tidur keesokan harinya, saya dapati kain saya terdapat tompokan air mani. Apabila saya membuang air kecil juga, air mani akan meleleh keluar. Saya juga telah meletakkan bantal di bawah punggung ketika bersama. Peluang untuk saya hamil akan tipis sekiranya air mani suami selalu tumpah. Adakah keadaan ini menganggu usaha kami untuk mendapatkan zuriat?
- Rosnah, Johor

Jawapan
Tahniah kepada anda berdua yang baharu memasuki gerbang perkahwinan sebulan yang lepas, Selamat Pengantin Baru!

Jika diizinkan Allah, peluang anda tidaklah tipis. Janganlah puan gusar. Teruskan usaha seperti biasa. Waktu subur adalah penting bagi wanita. Pada kebiasaannya peluang untuk hamil adalah dalam 80 hingga 90 peratus pada tahun pertama perkahwinan bagi wanita yang tidak mengamalkan kaedah perancang keluarga. 

Semasa hubungan seks, setelah proses ejakulasi, sperma (benih lelaki) akan bergerak sendiri ke saluran pembiakan (salur Fallopio) wanita secara semula jadi. Pada waktu subur wanita, lendiran mukus akan dihasilkan di permukaan serviks untuk membantu pergerakan sperma dan melindungi sperma daripada tindakan persekitaran faraj yang berasid.
Walaupun kehamilan boleh terjadi daripada ejakulasi air mani ke dalam faraj (vagina) tanpa penetrasi, namun peluang untuk hamil lebih tinggi sekiranya ejakulasi berlaku berhampiran serviks. 

TeknikTeknik hubungan seks tidaklah penting kecuali apabila kedudukan zakar tidak berada di tempat sepatutnya seperti dalam dubur atau di celah paha pasangan, iaitu bukannya di dalam faraj. Pengeluaran cecair dari faraj (lelehan yang keluar dari faraj) selepas persetubuhan adalah suatu perkara biasa dan tidak mempengaruhi peluang untuk hamil.Adalah amat penting juga bagi seseorang wanita yang ingin hamil mengetahui waktu subur mereka. Sperma dapat hidup selama 48 hingga 72 jam dalam salur Fallopio wanita. Jadi, amatlah penting hubungan seks dilakukan semasa waktu subur mengikut kitaran haid. Waktu subur dapat dikira dari jarak masa kitaran haid yang sebelumnya, carta suhu, atau perubahan kelikatan mukus (lendiran) serviks. 
 
Sperma perlu berada dalam salur Fallopio pada waktu subur ini kerana telur hanya dapat bersenyawa untuk beberapa jam. Dengan mengadakan hubungan seks semasa waktu subur, maka peluang persenyawaan berlaku adalah tinggi. Pada hari-hari berikutnya, kekerapan hubungan seks boleh dilakukan mengikut kehendak pasangan masing-masing. Menahan diri daripada melakukan hubungan seks sebelum waktu subur bagi tujuan menambahkan bilangan sperma dan meningkatkan kesuburan hanyalah suatu mitos. Bilangan sperma akan meningkat tanpa adanya hubungan seks selama 2 atau 3 hari, tetapi ramai lelaki yang subur boleh menghasilkan jumlah sperma yang mencukupi dengan melakukan hubungan seks dengan lebih kerap. 

Tidak mengadakan hubungan seks dalam jangka masa yang lama juga boleh menyebabkan dua kemungkinan. Pertama, risiko terlepas waktu ovulasi dan kedua, sperma akan menjadi kurang aktif. Adalah penting untuk mengagak bilakah proses ovulasi berkemungkinan berlaku supaya hubungan seks dapat dilakukan dua hingga tiga hari sebelumnya. Perkara lain yang patut dititikberatkan ialah kehadiran sperma yang subur dan bersedia untuk bersenyawa sebaik sahaja telur dikeluarkan. 

Dengan kata lain, waktu yang amat sesuai untuk melakukan hubungan seks adalah sebelum proses ovulasi. Bagi wanita yang mempunyai kitar haid selama 28 hari, masa yang sesuai adalah dari hari ke10 hingga hari ke 16. Jika persetubuhan berlaku setelah proses ovulasi, peluang untuk hamil adalah rendah.Wanita tidak perlu berbaring selepas hubungan seks dilakukan. Persenyawaan terjadi apabila sperma sampai ke salur Fallopio. Kehamilan berlaku daripada hubungan seks dalam pelbagai posisi. Pergerakan sperma tidak bergantung kepada posisi-posisi tertentu yang harus dikekalkan oleh wanita. Jadi, tidak perlulah untuk berbaring di atas katil atau berehat seketika setelah melakukan hubungan seks. Petua orang-orang tua yang meletakkan bantal di bawah punggung atau menaikkan kaki sebenarnya tidak membantu dalam proses persenyawaan.

Artikel Penuh:utusan online

No comments

Powered by Blogger.