Masalah keguguran berulang
Soalan 2: ASSALAMUALAIKUM, saya baru sahaja keguguran seminggu
lalu. Kandungan saya mencecah dua bulan setengah. Masalah saya ini
keguguran kedua. Keguguran pertama juga kandungan saya masuk dua bulan.
Kedua-duanya turun sendiri bersama sarung. Saya juga tidak menggunakan
kaedah D&C kerana menurut doktor rahim saya sudah kosong dan
bersih.
Di sini saya ingin bertanya doktor adakah disebabkan janin saya atau
rahim saya tidak kuat. Suami saya juga kuat mengambil ubatan seperti
ubat asma. Adakah itu juga puncanya?
Saya ingin minta pendapat doktor apa perkara yang sesuai untuk saya
lakukan. Adakah saya perlu terus makan asid folik atau buat rawatan
selanjutnya. Berapa bulan saya perlu berehat sebelum hamil semula. Saya
berharap doktor dapat membantu saya memberi pendapat.
- Azlini, Pantai Permai,
Kuala Lumpur.
Jawapan
PUAN Azlini, keguguran tersebut bukan disebabkan janin tidak kuat
atau ubat asma yang diambil oleh suami. Anda boleh teruskan pengambilan
folik asid untuk memberi banyak kebaikan kepada ibu dan janin.Jika anda mengalami keguguran untuk kali kedua, doktor mungkin menyarankan beberapa ujian untuk mengenalpasti sebab keguguran tersebut.
Walau bagaimanapun, biasanya anda tidak akan dirujuk kepada pakar sakit
puan, kecuali jika anda mengalami tiga kali keguguran atau lebih
berturut-turut. Walaupun setelah menjalani beberapa jenis ujian, pada
kebiasaannya penyebab keguguran tidak dapat dipastikan. Masalah-masalah
kesihatan biasanya bukan penyebabnya. Kehamilan seterusnya mungkin akan
berjaya.
Hari-hari dan minggu-minggu selepas keguguran boleh jadi sangat
sukar, terutama sekali jika ini bukanlah keguguran pertama anda atau
jika anda telah merancang kehamilan dengan berhati-hati. Adalah normal
bagi anda merasa terkejut, sedih, murung, letih dan berasa seperti
mengalami kegagalan. Anda mungkin merasa seperti segala-gala yang anda
harapkan hancur berkecai dalam sekelip mata. Anda juga mungkin mengalami
kemurungan dan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap tugasan harian
dan tidak boleh tidur. Ingatlah bahawa anda dan suami tidak
dipersalahkan. Keguguran yang berlaku dalam trimester pertama (kurang
dari tiga bulan) kehamilan adalah perkara yang sangat biasa berlaku.
Keguguran tidak memberi kesan ke atas keupayaan anda untuk hamil
lagi. Mengalami keguguran tidak semestinya menandakan anda mempunyai
masalah kesuburan. Malah, kajian menunjukkan bahawa setengah dan tiga
perempat daripada wanita yang pernah mengalami keguguran sebanyak tiga
kali atau lebih akhirnya melahirkan bayi yang sihat tanpa memerlukan
sebarang rawatan perubatan yang khusus. Selepas keguguran kali pertama,
risiko keguguran untuk kali kedua sama dengan sebelumnya, dan walaupun
selepas dua kali keguguran, risiko keguguran kali ketiga hanya meningkat
sedikit sahaja.
Kebanyakan doktor mengesyorkan anda tunggu sehingga anda mendapat
sekurang-kurangnya satu ke dua kali haid yang normal sebelum mencuba
untuk hamil semula. Ini bagi memberi peluang kepada badan anda kembali
normal. Tetapi jangan lupa bahawa anda juga perlu sembuh dari segi emosi
sebelum anda bersedia untuk cuba hamil lagi.
Dalam minggu-minggu pertama kehamilan, cubalah berehat sebanyak
mungkin dan lapangkan fikiran. Anda juga boleh minta doktor menjalankan
imbasan ultrabunyi awal. Setelah anda dapat melihat degupan jantung
bayi, anda mungkin berasa lebih tenang dan yakin. Jadi teruslah
berusaha, jangan sesekali berputus asa.
Post a Comment