Senggugut selepas berkahwin
Soalan
ASSALAMUALAIKUM doktor, saya sudah berkahwin hampir enam bulan. Saya
dan suami juga sudah bersedia untuk memiliki zuriat. Apa yang merisaukan
saya sekarang adalah senggugut saya yang teruk selepas berkahwin.
Sebelum berkahwin saya tidak mengalami senggugut hanya sakit perut biasa
yang dapat saya kawal. Tetapi semenjak saya kahwin pada Disember tahun
lepas, semasa haid saya pada bulan Januari tahun ini saya mengalami
senggugut yang teruk sehingga tidak boleh bangun. Sudah banyak klinik
yang saya pergi tetapi saya hanya diberitahu doktor masalah berkenaan
disebabkan perubahan hormon dan hanya diberi ubat tahan sakit. Adakah
berbahaya senggugut yang saya hadapi selepas kahwin ini doktor?
- Nadia, Pahang
Jawapan
Wa'alaikumusallam Nadia, kesakitan yang dialami semasa berlangsungnya
haid dipanggil senggugut atau dismenorea (dysmenorrhea). Senggugut
sering menyerang seorang wanita pada hari pertama dan kedua haid.
Senggugut bukan sekadar kesakitan teruk ketika haid, tetapi ia turut
menjadi petanda penting supaya semua wanita yang mengalami masalah ini
menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan endometriosis.
Terdapat dua jenis senggugut, iaitu senggugut primer dan senggugut
sekunder. Senggugut primer disebabkan oleh pengeluaran prostaglandin
(sejenis bahan kimia dalam darah) yang menyebabkan pengecutan rahim yang
kuat. Kebiasaannya ia sering dialami pada usia muda sebelum berkahwin
dan bertahan pada hari pertama dan kedua haid. Manakala senggugut
sekunder pula disebabkan oleh endometriosis.
Endometriosis pula merujuk kepada keadaan di mana lapisan tisu yang
melitupi bahagian dalam rahim didapati tumbuh di luar rahim, atau
kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi wanita.Masalah senggugut yang dialami anda berkemungkinan tinggi disebabkan
oleh penyakit endometriosis. Walaupun ada sebab-sebab lain yang boleh
menyebabkan senggugut, maklumat yang anda berikan membawa kepada
diagnosis yang paling ketara iaitu endometriosis. Dalam keadaan
endometriosis, wanita biasanya mengalami senggugut dan mungkin juga
sakit bila mengadakan hubungan seksual dengan suami. Ini berkemungkinan
besar disebabkan oleh organ-organ di bahagian pelvis yang melekat
(adhesion) atau juga salur Fallopionya mengalami penyumbatan.
Punca sebenar endometriosis masih tidak diketahui. Malah bagi
sesetengah wanita, risiko untuk mendapat endometriosis mungkin ada
sekiranya terdapat saudara-mara perempuan mereka mengalami masalah yang
sama. Sungguhpun punca sebenar endometriosis kekal tidak diketahui,
namun banyak teori telah dikemukakan untuk lebih memahami dan
menjelaskan perkembangannya. Ada teori yang mengatakan ia disebabkan
pendarahan haid yang berundur atau bergerak secara menyongsang
(retrograde menstruation) ke dalam pelvis, aras hormon estrogen yang
berlebihan, tisu endometriosis juga boleh merebak melalui salur darah
dan tumbuh di tempat-tempat yang jauh dari rahim seperti di dalam
paru-paru atau otak dan juga teori metaplasia.
Untuk mengetahui penyebab sebenar senggugut anda, sebaiknya anda
perlu diperiksa oleh pakar sakit puan. Selain daripada ujian imbasan
ultrabunyi (ultrasound) untuk melihat jika ada sista (pembengkakan
ovari), ujian laparoskopi juga boleh dilakukan untuk memastikan ia
adalah endometriosis dan juga untuk melihat jika terdapat pelekatan dan
penyumbatan pada salur Fallopio. Jika diagnosis yang dibuat doktor
adalah endometriosis, ubat-ubat tertentu boleh digunakan untuk mengubati
keadaan ini dan cara terbaik ialah jika wanita tersebut cepat hamil.
Sebab-sebab lain senggugut adalah jangkitan pada bahagian pelvik
(pelvic inflammatory disease), adenomyosis dan juga masalah fibroid.
Maka, anda perlu diperiksa secara teliti untuk mendapat diagnosis yang
tepat dan perlu diberi rawatan yang sewajarnya secepat mungkin supaya
penyakit ini tidak melarat sehingga susah dirawat kelak.
Post a Comment