Peluk tanda penghargaan
Memberikan dakapan kepada pasangan sama ada secara spontan atau
berbentuk penghargaan sebenarnya memberikan satu sentuhan fizikal yang
paling rapat di antara anda berdua.
Pakar terapi kekeluargaan, Virginia Satir dalam artikel yang ditulis
oleh Parveen Chopra berkata, setiap pasangan memerlukan
sekurang-kurangnya empat dakapan sehari untuk meneruskan kelangsungan
hidup, lapan dakapan sehari untuk memperbaiki rasa kejiwaan dalam diri
dan 12 dakapan sehari untuk cinta terus mekar.
"Dua belas dakapan sehari?" Mungkin itu terlalu banyak tetapi
sebenarnya amalan untuk memeluk pasangan bukanlah sesuatu yang sukar -
semudah memakai tali pinggang keledar, tidak sampai pun lima saat.
Anda hanya perlu lingkarkan tangan kepada tubuh pasangan anda, erat
dan mesra dan rasailah perbezaan perasaan ketika anda berdua sedang
berdakapan.
Bukanlah satu yang keterlaluan sekiranya anda mengamalkan tatacara
berdakapan dengan pasangan. Cuma lakukan dengan tertib, jangan pula
keterlaluan ketika di khalayak awam.
Mungkin boleh lakukannya pada waktu pagi sebelum anda berpisah ke
tempat kerja, ketika bertemu pada waktu makan tengah hari, pada minum
petang, sebelum makan malam atau selepas makan malam (menyatakan
keterujaan anda memakan makanan hasil masakan isteri anda).
Anda juga boleh berdakapan seketika ketika sedang membasuh pinggan
bersama-sama. Mungkin ketika menonton rancangan kegemaran anda berdua,
sebelum waktu tidur dan ketika waktu pagi apabila bangun dari tidur.
Mungkin ada yang mengatakan ini sudah keterlaluan. Pasangan tidak
akan berdakapan terlalu banyak dalam sehari seperti mana pasangan
pengantin yang baru berkahwin.
Malah mungkin ada yang menggambarkan perbuatan itu akan menjadi satu
rutin yang memenatkan. Kita mungkin setuju dengan pandangan ini, jadi
kita kurangkan jumlah dakapan.
Seorang doktor dari United Kingdom, Dr. Miriam Stoppard berkata,
rahsia kebahagiaan rumah tangga adalah sekiranya anda mendakap pasangan
sekurang-kurangnya empat kali sehari.
Sebenarnya, berapa kali pun anda mendakap pasangan, dakapan
sebenarnya merupakan satu penawar bagi mengubati hubungan suami isteri
yang sedang 'sakit', menjadi penggalak kepada jiwa untuk meneruskan
hubungan cinta antara suami dan isteri.
Pakar sains telah menggariskan, sejak berabad lalu sentuhan menerusi
dakapan mengundang kepada kepercayaan dan kejujuran individu.
Apabila anda mendakap pasangan secara tidak langsung anda sebenarnya
sedang melakukan komunikasi tanpa suara sambil menyalurkan perasaan
kepada si dia.
Antara perasaan yang anda ingin sampaikan - dialah insan yang paling
penting dalam hidupnya, dialah insan yang paling istimewa dan
sebagainya.
Dakapan boleh mengembalikan pemikiran pasangan ke arah yang positif,
mengurangkan stres, menstabilkan tekanan dan rasa kurang keyakinan.
Lagipun perbuatan ini percuma dan mudah dilakukan.
Namun, jangan disalahertikan dakapan sebagai dorongan untuk melakukan seks.
Sebagai contoh, jangan anda merasakan, kemahuan isteri anda untuk
minta dipeluk atau didakap sebagai satu dorongan permintaan seks.
Golongan ini sebenarnya memerlukan dakapan di saat mereka merasakan
kesedihan dan rasa tidak selamat dan perlukan jaminan anda sebagai
seorang suami.
Perasaan cinta sebenarnya tidak diukur sebanyak mana anda menyentuh
pasangan anda, tetapi berapa kali anda cuba merapatkan diri anda dengan
pasangan.
Post a Comment