Mengapa Bayi Enggan Menyusu?
Adakalanya bayi meragam tidak mahu minum susu ibu. Dia menolak
penyusuan walaupun dilakukan pada waktu yang rutin. Mengapa terjadi hal
demikian? Sebenarnya bayi yang tidak mahu menyusu badan bukan menolak
terus susu ibu, tetapi dia sedang memberitahui anda tentang masalah yang
dihadapinya. Jadi, anda perlu menyiasat dan mengenal pasti apakah
masalah tersebut.
Beberapa sebab bayi biasa menolak penyusuan:
*Bayi tidak melekap dengan betul dan isi puting payu dara ibu yang
masuk ke dalam mulutnya tidak cukup untuk membolehkan dia menyusu dengan
efektif. Jika berhadapan dengan situasi ini, perbetulkan posisi
pelekapan bayi atau dapatkan nasihat daripada kaunselor penyusuan untuk
mengatasi masalah ini.
*Bayi menghadapi masalah sakit mulut disebabkan oleh pertumbuhan gigi,
lepuh sejuk (cold sores) atau jangkitan (seperti jangkitan kandida).
*Ini merupakan reaksi bayi disebabkan jeritan spontan anda apabila dia menggigit puting payu dara anda.
*Bayi mempunyai jangkitan telinga yang menyebabkan tekanan atau kesakitan semasa menyusu.
*Bayi dijangkiti selesema atau hidung tersumbat yang menyukarkannya bernafas semasa menyusu.
*Jika bayi kerap diberi campuran susu formula dan menyebabkan pengurangan pengurangan bekalan susu ibu.
*Terlalu banyak gangguan, bunyi bising atau terhenti ketika menyusu.
*Rutin bayi terganggu disebabkan berpindah rumah atau ibu kembali bekerja.
*Bayi berpisah dengan ibu untuk jangkamasa yang lama.
Walaupun perlakuan bayi menolak penyusuan ini merungsingkan ibu tetapi
ia boleh diatasi dengan kesabaran dan kasih sayang dari ibu sendiri.
Pastikan anda tidak berputus asa lalu mengambil keputusan menghentikan
penyusuan susu ibu.
Semasa proses menyelesaikan masalah ini, ibu hendaklah memerah keluar
susu dengan tangan atau pam setiap beberapa jam (sama kerap seperti bayi
menyusu dulu). Ini dapat mengelakkan daripada berlaku masalah mastitis
dan mengekalkan bekalan susu yang cukup.
Cara menangani masalah ini:
*Cuba berikan payu dara anda semasa bayi sedang tidur atau semasa dia
paling mengantuk. Kebanyakan bayi yang menolak penyusuan susu ibu ketika
berjaya akan menyusu semasa mereka mengantuk.
*Bawa bayi berjumpa doktor untuk mengetahui sama ada bayi mempunyai
sebarang penyakit (seperti jangkitan telinga atau jangkitan kandida).
*Ubah posisi penyusuan anda.
*Susukan bayi sambil bergerak. Ada bayi lebih suka menyusu apabila
dibuai atau dibawa berjalan berbanding disusukan semasa sedang duduk
atau berdiri.
*Carilah bilik yang sunyi untuk menyusukan bayi. Biasanya, bayi yang
berusia enam hingga sembilan bulan bertindak untuk menolak penyusuan
disebabkan dia terangsang untuk meneroka dunia yang baharu dikenali.
Bayi pada usia ini mudah mengalih perhatian kepada perkara lain dan
selalunya lebih suka untuk "hisap main-main" di payu dara ibu dan tidak
mahu menyusu dengan sempurna. Gunakanlah bilik yang agak gelap, sunyi
dan jauh daripada bunyi radio atau televisyen semasa menyusukan bayi
anda.
*Berikan sentuhan kulit dengan kulit yang kerap. Kain atau alat
pendukung bayi boleh membantu anda berkedudukan rapat dengan bayi semasa
tidak menyusunya.
Sebenarnya, tidak mungkin bayi yang berusia di bawah satu tahun yang
terdahulunya menyusu dengan baik sudah mahu bercerai susu. Carilah punca
dan jalan penyelesaian.
Post a Comment