Dalam membuat persediaan untuk menyusukan bayi ketika anda masih hamil lagi, jangan lupa untuk mempelajari posisi yang betul ketika menyusukan bayi anda. Jika tersilap posisi dibimbangi usaha anda untuk menyusukan bayi akan menemui kesukaran atau kegagalan.
Pelajari langkah demi langkah persiapan menyusukan si comel anda:
  1. Kedudukan selesa
Pastikan kedudukan ibu selesa di mana bayi diampu dengan baik. Anda boleh duduk bersandar pada katil, sofa ataupun kerusi dengan kepala bayi di atas lengan anda. Sebaik-baiknya jangan bersandar terlalu jauh daripada bayi sehingga menyukarkan dia mencapai puting untuk menyusu.
Elakkan daripada terlalu membongkok hingga membuatkan anda begitu rapat dengan bayi. Ibu digalakkan menggunakan bantal atau kusyen untuk bersandar bagi menyokong diri sendiri dan bayi semasa proses penyusuan. Sebaiknya gunakan bantal menyusu.
  1. Sokong bayi
Kepala, tengkuk dan tubuh bayi haruslah berada dalam keadaan selari. Manakala mukanya pula menghadap payu dara. Hidung bayi perlu bertentangan dengan puting payu dara. Dalam pada itu, bayi perlu rapat dengan anda di mana punggung, kepala dan bahu bayi diampu dengan sebaik-baiknya.
  1. Ampu payu dara
Biasanya ramai ibu menyusu melakukan pegangan gunting iaitu ibu jari dan jari telunjuk berada di atas puting manakala jari-jari yang lain di bawah puting ketika menyusu. Sebenarnya, cara yang betul memegang payu dara ialah dengan melakukan pegangan C di mana ibu jari berada di atas puting dan jari-jari lain di bawah puting.
  1. Lekapkan bayi
Sebelum mula menyusukan bayi, sentuh bibirnya. Biarkan mulut bayi terbuka luas. Kemudian, halakan tubuh bayi ke arah  payu dara. Dalam pada itu, pastikan dia melekap pada aerola dengan betul. Gerakan rahang dan bunyi tegukan yang kedengaran adalah petanda bayi menyusu dalam posisi yang betul.

Jenis-jenis posisi:

*Cradle hold – Posisi dakapan yang paling biasa diamalkan oleh ibu. Ia sangat selesa kepada ibu dan bayi yang disusukan.

*Cross cradle hold – Posisi hampir sama seperti cradle hold tetapi posisi ini bayi diampu oleh sebelah lagi tangan dan sebaliknya.

*Football hold – Posisi ini memerlukan sokongan bantal menyusu bagi menyokong bayi agar selesa. Bantal diletak di bahagian tepi tubuh atau bawah lengan ibu bagi membolehkan bayi berada sama paras dengan payu dara. Posisi ini sesuai untuk ibu yang melahirkan bayi secara caesarean.

*Lying down – Posisi menyusukan bayi secara berbaring boleh digunakan ketika ibu mahupun bayi keletihan. Malah jika melahirkan bayi secara pembedahan, posisi ini boleh dicuba pada hari-hari pertama selepas kelahiran.

*Tandem - Posisi ini biasanya dipraktikkan oleh ibu yang mempunyai anak kembar agar dapat menyusukan kedua anak dalam satu masa.