Solat Ketika Hamil
Soalan:
Jawapan:
Saya kini sedang sarat mengandung di mana usia kehamilan sudah masuk
tujuh bulan. Perubahan berat badan membuatkan saya sukar bersolat secara
berdiri dan akan mengakibatkan kaki sakit dan susah bangun jika
melakukannya juga. Bolehkah wanita hamil bersolat secara duduk? Apakah
kriteria yang membolehkannya? Terima kasih.
Jawapan:
Islam adalah agama yang memahami kesukaran yang kadang kala di hadapi
oleh umatnya. Allah SWT berfirman: “Dan Dia (Allah) tidak menjadikan
kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
[al-Hajj 22:78] Merujuk kepada ibadah solat, Allah berfirman: “(Iaitu)
orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan
duduk dan semasa mereka berbaring mengiring.” [‘Ali Imran 3:191]
Sebahagian ahli tafsir berpendapat ayat di atas antara lain merujuk
kepada ibadah solat kerana solat itu sendiri satu bentuk ingatan dan
sebutan kepada Allah. Maka jika seseorang itu sukar untuk solat secara
berdiri maka dia solat secara duduk dan jika tetap sukar, maka dia solat
secara berbaring. [Tafsir al-Qurtubi, 3/773] Kadar kesukaran yang
membolehkan seseorang itu solat duduk atau baring berbeza-beza mengikut
individu, yang penting dia bersikap jujur kepada Allah dalam mengukur
kesukaran yang dihadapinya.
Di antara kesukaran tersebut ialah melaksanakan solat ketika sedang
hamil. Orang yang hamil menghadapi kadar kesukaran yang berbeza-beza.
Bagi sebahagian orang mereka tetap dapat melaksanakan solat seperti
biasa sehinggalah ke saat bersalin. Sebahagian lagi menghadapi
kesukaran, khasnya apabila memasuki trimester ketiga. Maka bagi kes ini,
dibolehkan baginya untuk solat secara duduk.
Cara solat duduk ialah duduk secara bersila di atas lantai dengan
menghadap kiblat. [Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 1660] Rukuk dengan
membongkokkan badan dengan kedua-dua tangan memegang lutut. Sujud adalah
seperti biasa, namun jika mengalami kesukaran maka bongkokkanlah badan
lebih rendah berbanding rukuk dengan kedua-dua tangan menyentuh lantai.
Jika sukar untuk duduk bersila, pilihan lain ialah duduk sepertimana
duduk di antara dua sujud. Jika masih sukar, pilihan lain ialah duduk di
atas kerusi. Pergerakan untuk rukuk dan sujud adalah sepertimana
penjelasan di atas (duduk bersila).
Sumber PaMa
Post a Comment