Rahsia Penyusuan Ketika Berpuasa
Adakah anda juga ibu-ibu yang pertama kali menyusu yang berada dalam
dilema berikut. Jangan risau! Hakikatnya anda boleh terus berpuasa penuh
tanpa perlu risau kekurangan pengeluaran susu tetapi dengan syarat
perlu mematuhi garis panduan berikut:
- Disiplin waktu makan
Ibu menyusu memerlukan kalori tambahan sebanyak 700 kalori sehari.
Sebanyak 500 kalori diambil daripada makanan ibu dan 200 kalori diambil
daripada lemak dalam tubuh ibu. Oleh itu walaupun berpuasa, pastikan
tetap makan tiga kali sehari iaitu sahur, berbuka dan sebelum masuk
tidur.
- Kurma,kurma,kurma
Makanan sunnah ini terkenal sebagai sumber tenaga segera kepada badan.
Kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A & C serta zat
mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potassium. Maka, jangan
sesekali tinggalkan buah kurma sepanjang berpuasa. Ia amat sesuai untuk
ibu menyusu.
- Makanan seimbang dan suplemen
Pastikan ibu berbuka dan bersahur dengan mengambil makanan seimbang
seperti karbohidrat, protein dan lemak. Contoh makanan seperti nasi
atau mee semasa berbuka dan bersahur, roti, biskut, kuih-muih sebelum
tidur. Pengambilan supleman untuk ibu menyusu turut membantu memberi
tenaga dan mengekalkan penghasilan susu.
- Minum banyak air
Keperluan cecair oleh ibu menyusu sangat tinggi. Sebanyak dua liter
diperlukan sehari. Bagaimana hendak minum banyak sedangkan seharian
berpuasa? Mulakan minum air masak sejak berbuka sehingga bersahur dan
menjelang imsak. Tip mudah, letakkan sebotol air di tepi katil supaya
anda boleh minum pada bila-bila masa sepanjang malam. Selain air masak,
minuman yang disarankan adalah jus buah-buahan, minuman bersusu dan
berbijirin. Elakkan minuman berais terutama ketika berbuka dan bersahur
kerana menyebabkan kita cepat dahaga. Minuman suam membantu melancarkan
pengeluaran susu ibu.
- Bertenang dan yakin
Secara psikologi, minda anda turut mempengaruhi penghasilan susu ibu.
Oleh itu jangan terlalu tertekan memikirkan susu akan berkurangan.
Tekanan akan mempengaruhi hormon oksitosin yang mengeluarkan susu ibu.
Banyakkan berdoa agar segalanya dipermudahkan Allah.
- Kerap menyusu dan mengepam
Ibu perlu ingat dengan formula semakin kerap bayi menyusu, semakin
banyak susu dikeluarkan. Bagi ibu yang bekerja, semakin kerap mengepam,
semakin banyak susu dihasilkan. Maksudnya, semakin banyak susu
dikeluarkan maka semakin kerap payu dara dikosongkan maka semakin banyak
susu akan dihasilkan. Oleh itu walaupun berpuasa tugas mengepam dan
menyusukan anak perlu diteruskan. Jangan bimbang susu akan kering,
kerana semakin anda tidak mengepam dan menyusukan bayi, susu akan
berkurangan sedikit demi sedikit. Kurangnya pengeluaran susu bukan
disebabkan ibu berpuasa sebaliknya kurang rangsangan sama ada menyusukan
terus atau mengepam.
Post a Comment