Sunday, August 13, 2017

Pastikan Anda Lakukan 10 Perkara Ini Untuk Elakkan Tumpah Darah Selepas Bersalin

Ros mengalami tumpah darah kritikal sehingga dimasukkan ke ICU pada kelahiran anak pertamanya. Dengan itu, dia dinasihatkan agar bersalin secara caesarean untuk kandungan keduanya bagi mengelakkan tumpah darah berlaku lagi. Apakah yang boleh dilakukannya untuk mengelakkan tumpah darah berulang pada kelahiran anak keduanya ini?

Masalah tumpah darah selepas hamil dikenali sebagai post partum hemorrhage (PPH). Ia adalah sebab utama ibu hamil meninggal dunia di Malaysia. Menurut Dr Norintan Zainal Abidin Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Columbia Asia Seremban, kes seperti Ros ini boleh dielakkan dengan beberapa langkah berikut;


Sebelum hamil
  1. Pastikan tahap hemoglobin melebihi 11.5g%. Wanita yang kekurangan darah lebih berisiko untuk mengalami PPH.
  2. Pastikan ujian pelvic ultrasound dilakukan. Jika mempunyai fibroid, ia menyebabkan kesukaran untuk rahim mengecut dan seterusnya boleh berlaku PPH.
  3. Pastikan tiada masalah seperti kencing manis dan darah tinggi sebelum hamil. Wanita yang mempunyai masalah darah tinggi dan kencing manis berkemungkinan besar perlu bersalin secara indius. Proses indius boleh menyebabkan rahim sukar mengecut selepas bersalin lalu menyebabkan PPH.

Setelah hamil
  1. Pastikan membuat antenatal booking di hospital yang mempunyai kemudahan tabung darah.
  2. Pastikan anda memantau tahap hemoglobin. Disiplin dalam memakan zat besi, folik asid, Vitamin C dan B kompleks. Kesemua vitamin ini perlu untuk pembentukan hemoglobin di dalam tubuh.
  3. Pastikan bayi tidak terlalu besar. Jika besar, air ketuban banyak dan ini boleh menjadi penyebab PPH.
  4. Jika pada akhir kehamilan, doktor berpendapat bersalin melalui casearean adalah terbaik, maka ikutilah nasihat doktor.

Setelah bersalin
  1. Pastikan anda memantau darah nifas ketika berpantang. Jika banyak, berketul-ketul sehingga basah ke kain, terus ke hospital. Tidak kira ia awal pagi atau tengah malam. Tindakan pantas boleh menyelamatkan nyawa. PPH boleh berlaku bila-bila masa walaupun sudah pulang ke rumah.
  2. Anda perlu dapatkan rawatan dari hospital secepat mungkin apabila mengalami masalah tumpah darah selepas bersalin. Jika lambat, anda akan mengalami perubahan dalam darah di mana ia tidak boleh berhenti daripada berdarah (DIVC) yang boleh berakhir dengan maut.
  3. PPH juga lebih kerap berlaku kepada wanita yang hamil terlalu rapat atau terlalu ramai. Bincanglah dengan doktor mengenai cara-cara merancang keluarga. Suami juga bertanggungjawab menjaga nyawa isteri. Jadi, kerjasama adalah perlu dalam hal ini.
Sumber PaMa

No comments:

Post a Comment