Berapa ramai ibu hamil di sini yang tahu tentang kepentingan pernafasan dengan betul ketika bersalin? Rasanya ramai antara ibu hamil yang tidak sempat hendak mempraktiskan teknik pernafasan yang betul kerana lebih fokus memikirkan kesakitan yang dialami semasa hendak bersalin. Tahukah anda, sebenarnya teknik pernafasan yang betul membantu anda mengurangkan rasa sakit dan memudahkan proses kelahiran bayi. Cuba, amalkan latihan bernafas semasa mengandung kerana ia membantu anda menggunakannya dengan efektif semasa proses kelahiran kelak.

1. Fikirkan perkataan relaks

Sewaktu menarik nafas, fikirkan "re". Manakala semasa menghembus nafas pula, fikirkan "laks". Beri tumpuan sepenuhnya kepada latihan ini. Sebut perkataan tersebut berulang-ulang selari dengan corak pernafasan anda. Semasa menghembus nafas, lepaskan sebarang tekanan yang mungkin dialami. Fokus kepada otot yang anda tahu selalu mengalami ketegangan. Setiap kali menghembus nafas, fikir dalam tempoh yang agak panjang iaitu "laaaks".

2. Buat kiraan

Semasa menarik nafas, kira sehingga tiga atau empat dengan perlahan (atau sebarang nombor pilihan sendiri). Sewaktu menghembus nafas keluar pula, kira sebanyak tiga atau empat kali lagi. Sebenarnya anda akan mendapati lebih selesa mengira tiga kali untuk tarikan nafas dan empat kali untuk hembusan nafas.

3. Bernafas melalui hidung dan hembus guna mulut

Hembuslah nafas melalui mulut dengan lembut. Tarik nafas melalui hidung anda dan hembus melalui mulut. Membuat bunyi seperti "Oooh" atau "Aaah" semasa menghembus nafas sangat membantu ketika dalam proses kelahiran. Pastikan anda kerap minum air masak waktu antara kontraksi bagi mengelakkan mulut menjadi kering.

4. Sewaktu Braxton Hicks

Tarik nafas sedalam-dalamnya menerusi  hidung. Kemudian hembus nafas melalui mulut.

5. Semasa kontraksi semakin kerap

Tarik nafas pendek-pendek menerusi mulut dan lepaskan cepat-cepat melalui mulut juga. Ia seolah-olah anda sedang bernafas dalam keadaan tercungap-cungap. Tetapi lakukan ia dalam keadaan tenang. Dalam masa yang sama, jangan kosongkan paru-paru sebelum menyedut nafas seterusnya.

6. Apabila berlaku gesaan meneran

Tarik nafas dua kali melalui hidung dan lepas mengikut mulut. Seterusnya setelah tiada gesaan meneran, hembus nafas seperti biasa.

7. Ketika tiba masa meneran

Tarik nafas dalam-dalam menerusi mulut dan lepaskan dengan sekali nafas secara perlahan-lahan melalui mulut juga. Langkah ini dilakukan bagi mengelakkan bayi yang sudah pun berada di pintu serviks termsuk ke dalam semula.

Sumber: Pa&Ma