Header Ads

Pemeriksaan tahap kesuburan

Soalan:
Usia perkahwinan saya sudah mencecah empat tahun. Namun, kami masih belum dikurniakan anak. Badan saya dan suami memang
agak gempal. Adakah ini punca kami sukar mendapatkan anak? Apa yang perlu saya lakukan untuk memeriksa tahap kesuburan saya?
- Rokiah, Kedah.

Jawapan
Saya amat memahami tentang permasalahan yang sedang dialami oleh anda. Memang agak tepat apa yang anda sangkakan. Wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan akan mengalami infertiliti. Berbadan gempal bagi wanita boleh menyebabkan masalah dalam pengeluaran ovum atau benih oleh folikel yang matang atau dalam kenyataan biasa tidak bertelur. Dalam bidang perubatan ia dikenali sebagai tiada berlakunya pengovulan.
Sebenarnya seseorang wanita hanya bertelur sekali sahaja sebulan. Indeks jisim badan (body mass index- BMI)- kurang daripada 20 kg/m2 atau melebihi 30kg/m2 akan memberi kesan kepada seseorang wanita untuk menghasilkan telur dengan sempurna. Lelaki yang berbadan gempal juga mempunyai aras hormon lelaki yang tidak seimbang dan boleh mengakibatkan permasalahan dalam proses spermatogenesis (proses penghasilan sperma/ benih lelaki). Penurunan berat badan bagi anda dan suami adalah amat penting sebagai salah satu langkah rawatan bagi masalah ketidaksuburan atau infertiliti dan juga bagi menghindarkan diri anda berdua daripada mengalami masalah lain berkaitan obesiti.
Langkah pertama yang paling baik ialah berjumpa doktor bagi mendapatkan nasihat, penerangan berkenaan waktu subur, pengambilan penyiasatan darah hormon pada waktu tertentu seperti ujian darah bagi hormon perangsang folikel (follicle stimulating hormone-FSH), hormon peluteinan (luteinising hormone -LH), estradiol (E2) pada hari kedua atau ketiga waktu haid dan ujian hormon lain jika perlu.
Bagi wanita yang mempunyai kitaran haid yang tidak teratur pula perlu menjalani ujian darah tambahan bagi hormon Prolaktin, hormon tiroid dan hormon testosteron. Selepas itu, rawatan dan pemeriksaan selanjutnya akan dijalankan.
Pemeriksaan seterusnya ialah pemeriksaan faraj bagi mengetahui saiz dan kedudukan rahim dan pada masa yang sama ujian Pap smear boleh dijalankan. Selain pemeriksaan faraj, anda perlu menjalani ujian imbasan ultrabunyi (ultrasound) melalui faraj yang dikenali sebagai transvaginal sonography (TVS). Wanita juga perlu menjalani ujian yang lain untuk mengesan masalah salur Fallopio sama ada tersumbat, melekat dan sebagainya dengan menjalani sama ada ujian x-ray rahim (hysterosalpingogram atau HSG) atau ujian laparoskopi (secara tebukan di bahagian umbilikus atau pusat). Ujian x-ray rahim ialah satu tatacara yang mana doktor pakar x-ray atau pakar radiologi akan menyuntik satu suntikan cecair khas ke dalam rahim melalui saluran faraj dan pada masa yang sama 6 hingga 8 keping gambar akan diambil untuk mengesan sama ada salur Fallopio anda tersumbat atau tidak.

Lelaki
Bagi lelaki, sejarah perubatan, pemeriksaan klinikal dan ujian air mani perlu dijalankan. Orkidometer ialah sejenis alat yang berupa tasbih yang besar yang mempunyai ukuran yang berbeza-beza. Ia boleh digunakan untuk mengukur saiz buah zakar (kelenjar testis) bagi pihak lelaki. Buah zakar yang bersaiz normal ialah berukuran antara 15 hingga 20 ml. Pemeriksaan seterusnya ialah ujian air mani. Kadang-kadang ujian air mani perlu dijalankan beberapa kali kerana keputusannya mungkin berubah jika ujian yang pertama kali tidak normal.
Perkara yang boleh menyebabkan benih suami kurang bilangannya, tidak aktif atau tidak normal bentuknya ialah penyakit-penyakit jangkitan kuman yang mungkin berlaku pada umur kanak-kanak seperti deman beguk (mumps). Virus beguk boleh menyerang buah zakar dan merosakkan kilang benih lelaki.
Rawatan yang bersesuaian akan diberikan mengikut penyebab infertiliti. Pada kebiasaannya penyebab utama ialah anovulasi (tidak bertelur atau tidak subur). Ubat subur yang biasa diberikan ialah clomiphene citrate. Ubat ini merupakan hormon anti-estrogen sintetik yang berfungsi untuk meningkatkan rembesan hormon perangsang folikel (FSH) daripada kelenjar pituitari yang seterusnya akan meningkatkan perkembangan folikel di dalam ovari.

No comments

Powered by Blogger.