Header Ads

Rawat masalah peluh berlebihan

Soalan
KEBANYAKAN wanita berasa malu apabila merembeskan peluh yang terlampau banyak, tidak kiralah sama ada keluar menerusi tapak tangan atau ketiak. Doktor, saya ingin bertanya, apakah punca dan bagaimana mengatasi masalah ini?
*Ros, Kuala Lumpur.

Jawapan
Keadaan peluh yang melampau ini adalah sejenis penyakit dan ia dikenali sebagai hiperhidrosis. Namun begitu, tidak ramai yang mengetahui keadaan ini sebagai penyakit. Kebanyakannya beranggapan sebagai masalah biasa yang terjadi kepada semua orang. Dari segi perubatan, hiperhidrosis ialah masalah peluh berlebihan yang terjadi dalam satu peratus populasi.

Biasanya keadaan ini terjadi pada tangan (disebut palmar hiperhidrosis), ketiak (axillary hiperhidrosis) dan kaki (plantar hiperhidrosis). Punca sebenar hiperhidrosis tidak diketahui dengan tepat, namun peluh diketahui dikawal oleh sistem saraf simpatetik.

Hiperhidrosis selalu berlaku seawal zaman kanak-kanak dan remaja. Penyakit ini boleh menyebabkan kualiti hidup seseorang terganggu akibat tekanan emosi, malu untuk bersosial dan menjejaskan pekerjaan seperti susah menulis. Buat pengetahuan saudari, hiperhidrosis sukar untuk dirawat dengan berkesan, tetapi pada masa sekarang sudah ada banyak kaedah baru yang boleh digunakan dan memberi prognosis yang baik.
Ada tiga jenis hiperhidrosis iaitu hiperhidrosis berpunca daripada emosi yang selalunya membabitkan telapak tangan dan kaki serta ketiak, hiperdrosis setempat dan hiperhidrosis menyeluruh iaitu di seluruh badan. Punca hiperhidrosis ini kurang jelas dan dikaitkan dengan aktiviti berlebihan saraf simpatetik dalam badan dan sebahagian kecil kerana pembawaan genetik. Masalah ini pula boleh dialami baik lelaki dan wanita tanpa mengira faktor usia.

Bagi mendapatkan rawatan hiperhidrosis ini, anda perlu berjumpa pakar kulit kerana ada pelbagai kaedah rawatan dari segi ubat-ubatan dan juga pembedahan. Hiperhidrosis menyeluruh mempunyai kaitan dengan masalah penyakit kanser dan urat saraf, masalah metabolik seperti hipertiroidisma, diabetes, hipoglisemia, gout, pheochorocytoma dan juga menopaus. Penyakit-penyakit lain yang menyebabkan demam juga boleh menyebabkan berpeluh satu badan. Ini penting bagi mencari punca-punca hiperhidrosis yang boleh dirawat dengan betul. Malah ada beberapa ujian yang perlu dilakukan.

Dari segi rawatan, usaha mengatasi hiperhidrosis ini juga menjadi satu cabaran bagi doktor. Bagaimanapun, penggunaan krim atau sapuan topikal mengandungi asid borik, potassium permanganate, formaldehyade, aluminium choride juga dikatakan memberi kesan terhad dan mempunyai kesan sampingan seperti alahan. Ada juga bahan sistemik digunakan seperti ubat antikoligenik. Contohnya propantheline bromide,oxybutynin dan benztropine lebih berkesan tetapi mempunyai kesan-kesan sampingan seperti penglihatan kabur atau kelabu, mulut dan mata menjadi kering, susah kencing dan sembelit. Selain itu, ada pelbagai ubat-ubatan yang turut digunakan untuk merawat hiperhidrosis. Suntikan toksin botulinum atau botox misalnya, amat berkesan untuk rawatan hiperhidrosis pada telapak tangan dan di bawah ketiak.

Pada masa sama, ada juga kaedah pembedahan yang digunakan sekiranya rawatan secara perubatan gagal. Rawatan ini memerlukan prosedur yang mana saraf simpatetik dimusnahkan secara endoskopi. Pembedahan lain adalah dengan membuang kelenjar peluh melalui penggunaan laser dan pembedahan. Rawatan hiperhidrosis ialah sesuatu yang mencabar dan keberkesanannya tidak seratus peratus, maka anda perlu berjumpa pakar untuk kaunseling.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments

Powered by Blogger.