Menghadapi Kerenah Anak Moody
Kanak-kanak biasanya akan berkelakuan baik apabila mereka sihat dan gembira. Bagaimanapun, setiap kanak-kanak mempunyai hari tidak baiknya atau moody. Adakalanya mereka seperti hendak menguji kesabaran ibu bapa sejauh mana dia boleh buat ‘perangai’.
Perangai buruk juga biasanya merupakan satu cara berkesan untuk mendapat perhatian ibu ayah. Kebiasaannya kanak-kanak berusia tiga tahun mula pandai membuat ‘drama’ untuk mendapat perhatian.
Bagaimana seharusnya ibu ayah melayan kerenah anak yang membuat perangai? Seboleh mungkin kita tidak mahu terlalu mengikut kemahuan mereka kerana bimbang anak akan menjadi terlalu manja. Tetapi dalam masa yang sama tidak mahu keterlaluan memarahi mereka.
Peraturan penting ialah bertindak segera. Libatkan diri dengan segera dan ketepikan punca masalah tersebut. Jika dia mengamuk dan melontarkan makanan atau alat permainan yang dipegang, ambil segera objek itu yang menjadi punca pergaduhan, atau dukung anak anda dan asingkannya dengan berkata “Tidak” dengan tegas.
Pada masa yang sama, alihkan perhatiannya kepada aktivti atau objek lain. Anda tidak perlu menjadi marah atau terganggu, hanya tetapkan pendirian supaya anak anda mendapat mesej yang jelas bahawa dia tidak sekali-kali dibenarkan berperangai begitu.
Sesetengah jenis perangai buruk, seperti merungut dan merengek, paling baik jika tidak dihiraukan langsung. Sekiranya anak anda tidak pernah sekali berjaya mendapatkan tindak balas anda dan tidak sekali pun dapat memenangi sebarang pertelingkahan dengan perangainya itu, dia akan berhenti dengan sendiri tidak lama lagi.
Tidak menghiraukan anak yang suka ‘membuat perangai’ juga satu tindakan yang baik. Anda mungkin berupaya mengalihkan perhatiannya sekiranya anda mengetahui punca dia marah. Namun, sebaik sahaja dia melemparkan diri ke lantai dalam kemarahan, anda hanya perlu bertenang dan meneruskan pekerjaan anda seperti biasa. Jika perlu, letakkannya di luar bilik sehingga dia tenang.
Post a Comment