Bukan Bluetooth, Bukan Wifi..
Agak melucukan! Begitu tanggapan awal saya saat membaca sebuah perumpamaan moden yang memperkatakan tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam menanggapi perhubungan sesama mereka.
“Men are like Bluetooth. He is connected to you when you are nearby, but searches for other devices when you are away. Women are like Wifi. She sees all available devices, but connects to the strongest one.”
“Hmmm…bila teknologi terkini dijadikan perumpamaan manusiawi…siapalah pengarangnya. Bagaimana agaknya kalau ayat itu diubah sedikit.” Saya berbisik sendiri.
“Men are like Bluetooth, you are next to him, then he stays connected. You go away, he finds for new devices. And a lady, however, is like Wifi. Many devices can connect to her as long as she is not secured. ”
Bibir saya terus menguntum senyum.
“Mungkin kerana itu, ada yang berpandangan bahawa pencarian seseorang yang ‘betul’ dan tepat bagi diangkat sebagai pasangan hidup yang serasi dan membawa bahagia,seumpama mencari sehelai rumput paling cantik.” Bisikan saya bertali.
Panduan Ilahi
Tidak perlu bertegang urat mempertahankan sama ada perumpamaan-perumpamaan di atas benar atau tidak, kerana sebagai seorang Muslim, Islam telah menggariskan panduan yang amat adil lagi bijaksana dalam menentukan kriteria pasangan yang baik menurut kaca mata agama.
Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya : “Wanita itu dinikahi kerana empat perkara; [pertama] kerana hartanya, (kedua) keturunannya, (ketiga) kecantikannya, dan (keempat) agamanya. Maka, carilah yang baik agamanya, jika tidak maka kamu akan tersungkur fakir.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Di dalam hadis ini baginda s.a.w. menyatakan bahawa faktor pendorong seorang lelaki untuk menikahi seorang wanita itu ada empat iaitu harta, keturunan, kecantikan dan agama, dan di akhir hadis baginda s.a.w. memerintahkan agar memilih wanita yang baik agamanya serta memberikan dorongan untuk mencapai tujuan tersebut. Demikian juga, panduan ini turut terpakai ke atas wanita dalam mencari lelaki yang akan menyuntingnya sebagai suri.
Walaupun begitu, bukanlah satu perkara yang tercela jika seorang lelaki atau wanita itu memperhatikan faktor keturunan, kecantikan dan harta asalkan dia tidak meninggalkan faktor terpenting iaitu agama. Ini kerana, agama menjadi batas yang mengehadkan perkataan dan perbuatan seseorang dari melampaui kadar yang sepatutnya yang telah ditentukan agama.
Sebagaimana satu riwayat yang menyatakan seorang lelaki datang kepada Imam Hassan al Basri dan berkata kepada beliau :
“Sesungguhnya saya memiliki seorang puteri yang saya cintai dan banyak orang ingin melamarnya, maka apakah pandangan mu kepada ku wahai Hassan al Basri ?”
“Nikahkanlah dia dengan lelaki yang takut kepada Allah kerana jika dia mencintai anak mu maka dia akan memuliakannya dan jika dia tidak menyukainya maka dia tidak akan menzaliminya”. Hassan menjawab penuh keyakinan.
Sungguhpun demikian, walau sesukar mana pun cabaran yang ditempuhi dalam misi pencarian si pencinta sejati, sama ada ia melahirkan tawa ceria mahupun esakan hiba, apa yang selalu diharapkan dari perhubungan antara dua jiwa ini adalah keberkatan. Wujudnya keberkatan sebagai peneman kehidupan berumah tangga, bermakna, lorong-lorong perhubungan antara lelaki dan wanita yang bergelar suami dan isteri itu selalu tampil aman dan sejahtera biar sesempit apa pun lorong tersebut untuk di selusuri bersama.
Teladan Al-Quran
Ada beberapa kisah yang ditampilkan Allah SWT menerusi kitab-Nya yang mulia, iaitu al-Quran. Kisah beberapa pasangan suami isteri yang amat menarik untuk kita selusuri, mengambil ibrah dan pengajaran padanya yang penuh bererti untuk kehidupan ini.
Kisah-kisah tersebut boleh kita simpulkan kepada dua kategori :
· Pasangan yang bersama di dunia, tapi terpisah di akhirat.
· Pasangan yang terus bersama, di dunia dan akhirat sana.
Kisah pasangan suami isteri bagi kategori pertama ditampilkan oleh Allah SWT di dalam al Quran melalui kehidupan berumah tangga Nabi Nuh a.s dan Nabi Lut a.s yang mana kedua-duanya mengahwini wanita penderhaka kepada Yang Maha Esa, manakala sebuah kisah lain yang turut tersenarai di bawahnya ialah kisah Permaisuri Asiah dan pasangannya Fir’aun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan yang layak diserahkan pengabdian.
Gambaran pasangan ( isteri ) yang buruk disebutkan dalam ayat berikut :
Maksudnya : “Allah menjadikan isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut sebagai perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah ikatan pernikahan dengan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami. Lalu ke dua isteri itu berkhianat kepada kedua suami mereka, maka kedua suami mereka itu tidak dapat membantu mereka sedikit pun dari seksa Allah, dan dikatakan kepada keduanya: ‘Masuklah kalian berdua ke dalam neraka bersama orang-orang yang masuk neraka’.” (Surah At-Tahrim ayat 10 )
Sementara gambaran pasangan (suami) yang jelik pula diketengahkan oleh Nya melalui ayat:
Maksudnya: "Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata: “Ya Tuhan ku, bangunlah untuk ku sebuah rumah di sisi Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim.” (Surah at Tahrim ayat 11).
Niat Penentu Berkat
Paling menarik, bagi kategori kedua pula, ialah dalam banyak kisah pasangan bercinta yang dirakamkan al-Quran, ada sebuah kisah cinta sejati yang amat perlu dijauhi.
Kisah itu adalah catatan perjalanan cinta pasangan ‘musuh’ Allah yang kehidupan mereka serasi bersama, dipenuhi agenda menzalimi, menyakiti dan menjadi duri kepada kehidupan Nabi s.a.w. dan kaum Muslimin. Begitulah aktiviti yang dilakukan oleh Abu Lahab dan isterinya yang mana kisah mereka dilontar penuh hina oleh Allah sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Lahab. Mereka Bersama di dunia, dan terus setia bersama hingga ke neraka Nya.
Oleh itu, sewajarnya bagi individu Muslim yang baik pemahaman agamanya, menyedari bahawa bila sahaja menyebut tentang kemuliaan yang dikurniakan Allah menerusi ujian kehidupan, kemungkinan yang tiba antaranya adalah daripada ujian berumah tangga. Lalu, dengan memahami itu, sewajarnya tindakan paling awal yang harus dipraktikkan ialah menyubur sabar di samping usaha yang tuntas untuk membawa rumah tangganya ke jalan kebenaran.
Hakikatnya, tiada siapa dapat menebak sejauh mana ‘baik’ yang berada dalam dirinya berbanding pasangan. Ini kerana kemungkinan yang dijadikan kayu ukur dan dacing penimbang keserasian hanyalah daripada aspek luaran semata. Sedangkan andai diukur daripada aspek dalaman rohani masing-masing, kemungkinan pasangannya itu lebih baik daripada sudut keikhlasan kepada Allah SWT. Ingatlah, berasa baik selalu menjadi halangan tanpa sedar kepada usaha yang lebih jitu lagi untuk memperbaiki diri ke tahap selanjutnya.
Musuh kepada terbaik adalah baik!
Oleh itu, niat daripada awal perlu dipastikan berada betul di atas landasan. Niat ketika menetapkan kriteria-kriteria bakal pasangan. Niat ketika melihat bakal raja dan ratu hatinya. Niat ketika menyatakan persetujuan untuk bertunang. Niat ketika gerbang pernikahan melebarkan pintunya dan niat-niat lain seterusnya.
Niatlah yang akan menjadi timbang tara awal kepada keberkatan dalam jalan-jalan kehidupan berumah tangga.
Dan sudah pasti niat unggul seorang mukmin sejati itu hanya satu, demi meraih reda Ilahi; mengharapkan perhubungan yang terjalin berhias kasih yang suci berbumbung teduhan rahmat dari Yang Maha Mengasihi lagi Maha Menyayangi.
Bukan Bluetooth, Bukan Wifi….
Buat akhirnya, mari kita insafi bersama bahawa dalam mendambakan keserasian pasangan, mengimpikan pencinta sejati baik daripada lelaki atau perempuan sampai tangan keduanya berpimpin erat sebagai suami isteri, semua itu bertitik tolak daripada keburukan dan kemuliaan yang dijana pada setiap individu di dalamnya. Ia adalah hasil daripada pilihan diri mereka masing-masing.
Mungkin sahaja mereka berkahwin dengan seseorang yang sangat angkuh, buruk akhlak dan bermasalah moral yang dahsyat sehingga mengaku dirinya TUHAN, sebagaimana Asiah yang bersuamikan Si Mahazalim Firaun, tetapi akidah Asiah tetap utuh terpelihara lalu dengan yakin dia memohon Syurga dari Yang Maha Esa.
Seseorang itu juga mungkin sahaja menikahi individu yang sangat mulia dari kalangan manusia sebagaimana isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut alaihimassalam, tetapi kemuliaan si suami tidak berkesan sedikit pun kepada diri keduanya lalu mereka menjadi hamba yang ingkar dan bakal menghuni neraka yang menyala.
Untuk itu, bagi yang telah menemui ‘kekasih sejati’ dalam kehidupan rumah tangganya, berdoalah dengan tulus agar kerukunan rumah tangga anda dan pasangan yang dikasihi bersama di dunia hingga ke syurga abadi, bukan sekadar hingga ke akhirat kerana al-Quran sudah merakamkan perihal pasangan yang riwayat hidupnya 'berjuang' bersama di dunia, dan di akhirat kelak mereka masih setia berdua, tetapi pengakhiran mereka bukan di syurga, tetapi dalam neraka yang sungguh menyeksa.
Sementara kepada yang belum dan masih dalam pencarian, sudah pasti bukan jejaka ‘Bluetooth’ atau wanita ‘Wifi’ yang diinginkan oleh seorang Muslim dan Muslimah beriman, tetapi individu yang menjadikan cinta Allah dan Rasul-Nya sebagai cinta paling teratas. Individu sebegini memuliakan diri dan pasangannya dengan mendepani syariat Allah lalu mereka tahu kerana apa mereka berada di sisi pasangannya dan kerana apa pula mereka menjauh diri dari pasangannya pada satu-satu ketika. Kerana Allah, hanya DIA menjadi sebab utama!
Ingatlah, seseorang itu juga mungkin tidak berkesempatan mempunyai seorang suami atau isteri pun bagi melengkapi kebahagiaan hidupnya di dunia ini sebagaimana Maryam ibunda Nabi Isa a.s, tetapi keadaan itu tetap melayakkannya menjadi antara individu (wanita) paling terpandang di sisi Yang Maha Kaya.
Justeru, pilihlah jalan-jalan yang membawa diri kepada Nya, pasangan hanyalah salah satu jalan untuk bahagia, sedang Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang itulah sebenar-benar sumber kebahagiaan.
Post a Comment