Header Ads

Solat rawat mati pucuk


sumber: metro
LELAKI bermasalah mati pucuk tidak perlu khuatir kerana menerusi rawatan alternatif iaitu senaman lantai pelvik, terapi solat dan herba tradisional, ia membantu menangani masalah itu.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fatimah Ibrahim, berkata kajian yang dilakukan mendapati perubahan positif kepada pesakit.
Beliau berkata, mati pucuk atau disfungsi ereksi ialah ketidakupayaan seseorang mencapai atau mengekalkan ereksi cukup sewaktu melakukan persetubuhan dan kira-kira 40 peratus lelaki usia lebih 40 tahun mengalami masalah itu.
“Penyakit itu berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya merokok, diabetis, tekanan darah tinggi, lebihan berat badan, stres dan usia.“Kajian ke atas pesakit lelaki mendapati senaman terapi solat yang berterusan pada waktu ditetapkan meningkatkan tempoh ereksi.
“Kami berharap perkembangan ini memberi berita gembira kepada pasangan suami isteri bagi memelihara keharmonian rumah tangga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja, Komposisi Badan dan Mati Pucuk di Seminar Sains Solat Peringkat Kebangsaan 2009 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Seminar anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan UM itu menerima lebih 1,000 penyertaan termasuk daripada golongan profesional dan akademik.
Pembentang lain ialah pendakwah dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady bertajuk ‘Konsep dan Pengalaman Solat Lima Waktu’, Prof Madya Dr Anisah Ab Ghani (Solat Dari Perspektif Agama), Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abas (Isyarat Otot), Ng Siew Cheok (Isyarat Otak) dan Pakar Perunding Kardiologi, Pusat Perubatan UM, Prof Dr Wan Azman Wan Ahmad.
Kesimpulan daripada pembentangan kertas kerja itu mendapati, solat bukan sekadar melakukan ibadat tetapi menyihatkan mental dan fizikal
Solat membolehkan otot dan sendi bergerak, malah menguatkan seluruh tubuh badan. Ia seperti terapi perubatan yang sangat baik seperti disyorkan doktor.
Penyelidik dari Jabatan Bioperubatan UM, Ng Siew Cheok, berkata kajian perubahan isyarat otak sebelum, semasa dan selepas solat mendapati ibadat lima waktu itu memberikan kesan kepada individu.
“Selepas solat, seseorang itu akan lebih tenang dan bersedia melakukan sesuatu aktiviti secara fokus,” katanya.
Bagi Dr Muhammad Uthman, manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah lagi bakhil.
“Apabila ditimpa keresahan, dia sangat resah gelisah, apabila beroleh kesenangan dia bakhil kedekut, kecuali orang yang mengerjakan solat,” katanya

No comments

Powered by Blogger.