Header Ads

Di pejabat bos, di rumah isteri


sumber :metro
Oleh Hariyati Ariffin2010/01/18


SENARIO dunia pekerjaan masa kini sudah banyak berbeza. Wanita berjawatan tinggi di sesebuah organisasi bukan perkara asing lagi, malah mereka juga sudah memonopoli bidang pekerjaan yang suatu masa dulu dikuasai lelaki.
Justeru, apabila ini berlaku, sudah semestinya peranan wanita sebagai ibu dan isteri mengalami perubahan disebabkan tugas dan tanggungjawab disandang. Tuntutan pekerjaan yang dipikul sebagai ketua jabatan memaksa mereka menghabiskan banyak masa di pejabat dan kadang-kadang terpaksa bertugas di luar kawasan. Melihat situasi ini, sudah semestinya peranan ibu dan isteri mengalami sedikit perubahan dan ada kalanya menerima rungutan daripada suami dan anak kerana kekurangan masa bersama mereka hingga boleh mencetuskan konflik rumah tangga.
Bagi wanita yang bijak merancang masa berkualiti bersama keluarga dan menghormati suami sebagai ketua rumah tangga, konflik tidak mungkin berlaku. Kerjasama dan saling memahami antara suami dan isteri serta tahu tanggungjawab yang dipikul di rumah dan pejabat menjadikan mereka dapat menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan dan alam rumah tangga dengan baik.


Namun, tidak dinafikan ada di kalangan mereka yang terlupa tanggungjawab di rumah kerana terbawa-bawa sikap menjadi ketua di pejabat sehingga suami menjadi mangsa keadaan. Lebih rumit lagi, jika isteri bergaji lebih besar daripada suami dan berasa peranan suami semakin kecil. Menurut Penolong Pengarah Unit Khidmat Nasihat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Jamilah Muhammad Jamil, pengurusan masa amat penting bagi wanita berjawatan tinggi untuk membahagikan tugas sebagai ibu, isteri dan ketua jabatan. Bijak merancang masa berkualiti bersama keluarga, saling hormat menghormati dan memahami peranan dan tanggungjawab sebagai ibu dan isteri di rumah adalah kunci kebahagiaan mereka yang berjawatan tinggi. “Menghormati suami amat penting dalam membina kerukunan rumah tangga. Ini kerana ramai di kalangan mereka yang berjawatan tinggi mempunyai suami yang lebih rendah jawatannya berbanding isteri. Perkara ini bukan masalah jika kedua-dua pihak saling hormat menghormati dan memahami tanggungjawab di rumah dan di pejabat,” katanya. Jamilah mengakui ada segelintir wanita berjawatan tinggi terbawa-bawa pangkat yang disandang di pejabat ke rumah. Jika di pejabat sering memerintah, di rumah sikap itu terbawa-bawa sehingga terlupa tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.


Lebih memburukkan keadaan jika wanita berkenaan mempunyai ego tinggi menyebabkan mereka mudah lupa tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. “Keperluan suami dan anak juga tidak dijaga kerana terlalu sibuk di pejabat dan beranggapan segala keperluan material dalam keluarga disediakannya dan tanggungjawab di rumah seperti memasak dan melayan suami serta anak menjadi perkara nombor dua. “Pada masa sama, jika perhatian pada suami dan anak tidak diambil berat, ia mungkin mengundang pelbagai masalah dalam rumah tangga. Anak yang dahagakan kasih sayang ibu akan mencari alternatif lain dan jika salah langkah mereka mungkin terjebak dalam gejala sosial. Manakala suami yang kesunyian cuba mengisinya dengan pelbagai cara antaranya mencari wanita lain,” katanya.

Jamilah menjelaskan sejak kebelakangan ini kes wanita berjawatan tinggi mengalami konflik rumah tangga semakin meningkat. Ini kerana melalui kaunseling diadakan, mereka tidak takut bercerai kerana mampu dari segi material untuk menyara hidup sebagai ibu tunggal dan anak. Bagaimanapun, menurut Jamilah apa juga yang berlaku, suami isteri perlu balik kepada agama untuk melihat kedudukan isteri dan suami serta tanggungjawab masing-masing yang diamanahkan Allah. Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Prof Madya Abdullah Kassim berpendapat secara umum wanita berjawatan tinggi memang mempunyai sedikit masa bersama keluarga dan berpotensi mengabaikan suami dan anak. Jika dilihat daripada tuntutan pekerjaan itu sendiri, sudah membuatkan wanita berkenaan tidak mempunyai masa di rumah. “Masa berkualiti bersama keluarga sudah tidak ada kerana mereka lebih menumpukan pada kerja.


Mereka selalu menghadiri mesyuarat atau bertugas di luar kawasan dan terpaksa meninggalkan suami dan anak di rumah. Sememangnya masa mereka terbatas untuk keluarga. Sebagai ketua jabatan, mereka mempunyai beban tugas yang banyak,” katanya. Bagaimanapun, beliau berkata, kerukunan dan kebahagiaan keluarga bergantung pada sikap wanita berjawatan tinggi. Jika mempunyai kefahaman agama yang tinggi, mereka akan lebih memahami kehendak suami dan keluarga. “Untuk menjadi isteri dan ketua pejabat yang baik, golongan hawa perlu berbalik kepada hukum agama. Tidak dinafikan sikap ego mungkin ada di kalangan wanita berjawatan tinggi, namun jika mereka berbalik kepada agama dan memahami peranan mereka sebagai isteri dan ibu, masalah ini mungkin dapat diselesaikan,” katanya.

Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Perkhidmatan Saikologi UiTM Shah Aalam, Norhanita Mohd Sharif, berkata wanita berjawatan tinggi sebenarnya tidak mengabaikan suami dan anak, sebaliknya mereka mempunyai masa terhad bersama keluarga. Dalam kehidupan hari ini wanita perlu mencari rezeki untuk membantu suami. “Sudah semestinya dalam keadaan ini tugas mereka begitu mencabar dan memerlukan pengorbanan tinggi. Masalah mereka mengabaikan suami dan anak tidak timbul jika suami memahami kerjaya isteri,” katanya.


Norhanita berkata, suami tidak boleh mengandaikan isteri patut buat macam mana yang mereka fikirkan. Umpamanya menjadi isteri yang menjaga makan minum dan keperluannya seperti dilakukan suri rumah. “Isteri bekerja ada banyak tanggungjawab di luar dan di rumah. Sehubungan itu, suami perlu banyak berkompromi dan memahami tugas dan tanggungjawab isteri yang sudah berbeza mengikut zaman,” jelasnya.


Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor, Paeza Rosdi, berkata kerjasama dan saling memahami tugas dan tanggungjawab masing-masing sebagai suami isteri adalah antara kunci keharmonian rumah tangga walaupun isteri berjawatan tinggi dan terlalu sibuk di pejabat. Sebagai pengarah, tugas memerlukan beliau sering berjauhan dengan suami dan anak. Namun, baginya ia bukan sebab untuk menimbulkan konflik rumah tangga atau berasa ego dengan kedudukan diri. Jika wanita boleh menseimbangkan tanggungjawab di rumah dan di pejabat dengan baik, masalah mengabaikan suami dan anak tidak timbul. Penulis ialah pensyarah UiTM, Shah Alam

No comments

Powered by Blogger.