Header Ads

20 MINIT YANG SEGAR!




20 MINIT YANG SEGAR!
Keperluan mandi pagi untuk memulih semangat selepas melalui proses tid ur yang panjang, wajar di manfaatkan sepenuhnya. Betapa tidak, semalaman dibuai mimpi bulan dan bintang, kala terjaga, pasti meletihkan. Nah, singkaplah tirai hari anda dengan rutin 20 minit yang berikut agar diri kembali berkeyakinan sepanjang hari!

> Suhu air yang suam-suam kuku atau sedikit panas membantu membuka pori-pori kulit dan melegakan liang tersumbat. Namun elakkan mandian yang terlalu panas atau jakuzi jika anda berdepan masalah kapilari pecah atau ‘spider veins’. Titiskan air mandian anda dengan minyak pati peppermint untuk menyegarkan fikiran dan tubuh badan. Fokuskan pada aromanya.

> Sambil membersihkan tubuh, lakukan senaman regangan untuk menghilangkan ketegangan otot semasa tidur. Mulakan dengan meregang otot leher, diikuti bahu, lengan, dada, belakang badan, perut, peha, lutut dan akhir sekali, pergelangan kaki.

> Berikan tumpuan pada pernafasan. Tarik nafas sedalam-dalamnya selama empat kiraan, biarkan udara memenuhi dada anda dan rasakan ia berhembus jauh hingga ke dalam abdomen. Tahan selama lapan kiraan dan lepaskan nafas itu perlahan-lahan melalui mulut anda. Ulangi beberapa kali.

> Sambil menyental tubuh, uruti dengan gerakan memanjang dan menuju ke arah jantung. Apabila selesai, keringkan tubuh dan sapukan losen pelembap. Anda juga boleh menyembur losen berpewangi ketika tubuh masih lembap untuk mengunci lembapan semulajadi.

HADIRKAN KULIT TUBUH YANG LEMBUT

Losen tubuh
Losen mampu mengunci lembapan kulit dan menjadikannya lembut bermaya. Sapukan ke bahagian kulit yang kering seperti tapak kaki, lutut dan siku.

Skrub eksfoliasi
Proses menyental tubuh membantu mengatasi tompokan kasar dan bintik-bintik hitam yang muncul pada kulit anda. Eksfoliasi tubuh setiap satu atau dua kali seminggu, dan bilaskan sisa sabun dengan air hangat.

Batu pumis
Dibuat daripada batuan gunung berapi, batu pumis ini mampu melembutkan kulit berkematu dalam gerakan memutar.

Loofah atau skrub belakang
Amat berguna untuk menyental bahagian belakang badan yang sukar dicapai. Lakukan secara kerap untuk mengusir daki yang melekat.

PELENGKAP MANDIAN

Berus gigi
Dari material nilon. Carilah yang berbentuk tirus di hujung supaya mudah untuk anda memberus gigi kecil di belakang. Berus yang lembut atau sederhana lembut merupakan pilihan yang baik berbanding berus keras yang merosakkan enamel gigi serta gusi.

Flos gigi
Perlu digunakan setiap hari untuk membersihkan sisa makanan di celah gigi.

Deodoran
Tidak menghentikan perpeluhan – tetapi menghalang bakteria jahat daripada berkumpul dan menyebabkan bau badan. Elakkan mengguna deodoran pada kulit yang luka atau bengkak.

Bedak talkum
Membuatkan tubuh berasa segar dan wangi. Oleskan ke celah jari kaki, belakang lutut dan belakang tengkuk.

sumber : majalah nona

No comments

Powered by Blogger.