Header Ads

Anak Anti-Sosial, Punca Anak Pemalu?

Salah siapa jika anak-anak tidak pandai berdikari dan bersifat pemalu jika berada di khalayak ramai? Ada juga anak lelaki yang masih mahu berkepit bersama ibu dan merasa kurang yakin untuk bersama rakan-rakan. Akibatnya, anak-anak merasa terasing dan tidak mempunyai ramai kawan.

Sikap sesetengah ibu bapa yang terlalu menjaga keselamatan anak-anak sehingga mengasingkan anak-anak di kalangan kanak-kanak lain menjadi punca anak-anak tidak pandai bergaul. Tindakan terlalu mengawal aktiviti anak-anak juga menyebabkan anak-anak menjadi penakut dan hanya bergantung kepada ibu bapa untuk melakukan sesuatu.

Anak-anak yang pendiam cenderung tidak mempunyai rakan-rakan di sekolah dan bersikap murung kerana merasa sunyi. Apabila meningkat dewasa, anak-anak akan digelar anti-sosial oleh rakan-rakan sebaya dan menyebabkan mereka tidak berminat untuk keluar rumah sebaliknya mengurung diri di dalam bilik melakukan aktiviti yang digemari.

Sebagai ibu bapa, anda perlu memberi ruang dan peluang kepada anak-anak untuk bergaul dengan rakan sebaya. Jika anda risau dengan aktiviti persekitaran, awasi aktiviti mereka dan kenali rakan anak anda.

Untuk mendidik anak-anak anda pandai berdikari dan tidak hanya bergantung kepada ibu bapa, hantar anak anda mengikuti beberapa kelas aktiviti supaya mereka boleh mempunyai ramai sahabat, menjadi lebih berani, aktif dan mempunyai keyakinan yang tinggi.

Jika anda mulai perasan anak anda tidak mempunyai rakan dan bersifat malu dengan keadaan sekeliling, mereka mungkin akan membesar sebagai insan yang berkeyakinan rendah. Memberi anak-anak telefon bimbit, komputer riba mahupun permainan video bukanlah cara terbaik mendidik anak-anak tahu perkembangan dunia. Sebaliknya, ia memburukkan keadaan kerana melahirkan anak yang suka menghabiskan masa bersendirian.

Didiklah anak seiring dengan perkembangan semasa supaya mereka tidak ketinggalan di dalam dunia yang semakin berkembang ini dan anda pasti berbangga jika mempunyai anak yang boleh diharapkan. Anti-sosial itu biarlah bertempat. Tak gitu!

No comments

Powered by Blogger.