Header Ads

Runsing Perangai Miang Abang Ipar



PEPATAH ada menyebut, semakin tua semakin menjadi, ada kalanya benar termasuk juga soal cinta.
Jika cinta sesama orang muda manis juga dilihat, tetapi bagaimana jika cinta yang membabitkan lelaki berusia dengan gadis remaja.
Bukan setakat boleh dipanggil bapa dan anak tetapi gelaran datuk juga sangat sesuai sekali. Bukan menghina atau mengeji tetapi realiti dalam kehidupan masa kini.
Minggu ini, saya berkongsi cerita lelaki tua bermain cinta dengan gadis remaja yang dikirimkan oleh seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Zain kepada saya.
Begini ceritanya.
“Saya mempunyai seorang kakak berusia awal 40-an yang telah bernikah dengan seorang lelaki berada dalam usia lewat 50-an. Kakak saya, bekas penjawat awam dan telah bersara sementara suaminya, abang ipar saya mengetuai sebuah syarikat gergasi yang ada nama.
“Mereka dikurniakan tiga orang anak yang sudah dewasa dan telah berumah tangga dan mempunyai dua orang cucu. Kehidupan kakak saya sangat bahagia dan mewah begitu juga dengan anak-anak menantu dan cucu mereka.
“Secara tidak langsung kami sekeluarga juga tumpang gembira dan senang. Saya sangat sayangkan kakak saya, hormatkan abang ipar saya dan anak-anaknya. Sejak mereka berkahwin, saya memang tidak suka dengan perangai abang ipar saya yang suka enjoy dan bergaul dengan wanita, baik atas urusan kerja atau suka-suka.
“Untung dia, sebab kakak saya sangat baik orangnya, penyabar dan tidak ambil kisah dengan suaminya yang saya anggap ‘miang dan buaya’ itu.
“Sejak dahulu, dia memang suka bermain cinta dengan budak muda, remaja atau wanita yang masih mentah. Memang saya perhati sejak dahulu perangainya itu, tapi saya tidak menegur kerana yakin apabila sudah beranak, ada menantu dan cucu, sikapnya akan berubah. Lagipun dia tidak abaikan kakak saya.
“Tapi apa yang saya harapkan tidak berlaku, semakin tua semakin menjadi-jadi perangai abang ipar saya. Enjoy ke sana sini dengan kawan-kawan dan perempuan muda.
“Dia sanggup berhabis untuk mereka asalkan hatinya gembira. Balik rumah sudah tengah malam dan kadangkala dinihari, hujung minggu pergi main golf, dinner dan juga ke luar negara.
“Bergayut di telefon dengan kekasih macam orang muda, terbaring sana terbaring sini, naik meluat kita melihatnya. Langsung tidak ada perasaan malu dan segan walaupun kadangkala kami ada di rumahnya.
“Dia juga suka ke luar negara bermain golf dengan alasan untuk berjumpa klien dan membina rangkaian perniagaan. Kakak saya tidak pernah ikut.
“Dia pergi dengan kawan-kawan golfnya dan ditemani gadis-gadis muda. Saya tidak mahu sentuh apa yang dia lakukan di sana dengan kawan-kawannya kerana itu urusannya dengan Allah.
“Yang saya sedih dan kecewa kerana dia melayan gadis muda itu macam tak ingat dunia. Lupa yang dia sudah ada anak, menantu dan cucu.
“Pergaulannya dengan mereka sangat tidak manis, berpelukan, berpegangan dan bergurau tanpa batasan. Saya yang melihat pula sakit hati, sakit mata.
“Saya tahu kakak saya memendam rasa. Sejak mereka kahwin hingga kini, saya tidak pernah mendengar kakak saya merungut jauh sekali menghina suaminya.
“Begitu juga dengan anak-anak mereka. Pernah saya berbual dengan anak-anak saudara saya tentang bapa mereka tetapi jawapan mereka sama, ‘biarlah paksu, ayah tidak mengabaikan tanggungjawabnya terhadap mama dan kami semua’.
“Pernah satu hari, saya mengintip pergerakannya dan melihat sendiri bagaimana dia berbelanja sakan dengan seorang gadis yang saya kira sebaya anak bongsunya di sebuah pusat beli-belah mewah.
“Manjanya budak perempuan itu, sampai saya nak termuntah melihatnya. Mengada-ngada macam kekasihnya itu berusia belasan tahun, pada hal kubur kata mari, rumah kata pergi.
“Pernah beberapa kali, saya ceritakan kepada kakak akan hal ini tetapi dia buat selamba, macam tidak ada terkesan dalam hatinya langsung.
“Saya sedih dan kesal dengan sikap abang ipar saya mendera perasaan kakak saya. Memang betul mereka bahagia, cukup wang ringgit, kemewahan, semua yang hendak boleh dapat, tetapi dalam hati, adakah kakak saya benar-benar bahagia sebagai manusia?
“Saya pernah menasihati kakak saya supaya menegur suaminya tetapi dia kata biarkan. Kalau tegur pun tetap begitu. Dia tidak akan berubah.
“Saya juga mencadangkan supaya kakak mengajak suaminya pergi mendengar ceramah di masjid-masjid atau menjemput ustaz ke rumah untuk mengajar. Jawapannya juga sama, macam mana nak dengar ceramah, kalau tidak pernah melekat di rumah.
“Saya tahu kakak saya malu dengan perangai suaminya, begitu juga dengan anak-anak menantu mereka tetapi apa hendak dibuat, selagi ada kuasa, wang ringgit begitulah agaknya sikap manusia.
“Pun begitu saya tidak pernah kecewa. Saya juga sedang berusaha untuk mengembalikan abang ipar saya ke pangkal jalan tetapi kena ada caranya.
“Insya-Allah, saya akan berusaha melakukannya. Saya tidak mahu abang ipar saya terus hanyut dan hilang arah. Saya yakin masih ada peluang untuk dia walaupun orang kata, kalau umur 40 masih tidak berubah, susah untuk seseorang itu berubah terus.
“Apa pun saya percaya kepada kuasa Allah. Kalau kita berdoa dan meminta pertolongan Allah, pasti akan dimakbulkan. Saya harap doa saya akan termakbul.
“Saya juga meminta kakak dan anak-anaknya juga berbuat demikian, berdoa supaya abang ipar saya berubah demi kebahagiaan keluarga itu.
“Saya sedih kerana di penghujung usia, sepatutnya abang ipar saya sedar akan peranan dan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Bukan hanyut dengan duniawi sahaja. Bekalan ke akhirat juga perlu dituntut.
“Orang mungkin menganggap saya seorang ipar yang menyibuk hal rumah tangga orang tetapi sebagai adik, saya juga ada tanggungjawab untuk melihat kakak saya bahagia.
“Bahagia bukan hanya kerana kemewahan dan harta benda di dunia tetapi di akhirat juga. Ingatlah, usia mematangkan kita. Jangan sia-siakan hidup dengan urusan dunia yang tidak menjanjikan ganjaran di akhirat.
“Saya berharap abang ipar saya jika terbaca catatan ini akan sedar dan insaf serta segera kembali ke pangkal jalan. Ingatlah, kita bukan semakin muda, tetapi sedang menghampiri usia senja. Masih belum terlambat untuk berubah,’’ ujar Zain menamatkan luahan perasaannya.
Saya faham dengan apa yang cuba Zain lakukan. Memang Zain seorang adik yang baik dan prihatin dengan masalah kakaknya. Saya juga sokong usaha Zain untuk membantu abang iparnya kembali ke pangkal jalan.
Walaupun nampak susah, sekurang-kurangnya Zain berusaha ke arah itu. Apa pun, saya harap sebagai isteri, kakak Zain akan turut membantu. Jangan biarkan suami hanyut terlalu jauh. Usia sudah lanjut, bukan masanya lagi untuk berhibur di dunia. Bekalan akhirat juga perlu dicari.
Pujuk, nasihat dan ajaklah dia beramal serta menjadi ketua keluarga dan pemimpin yang baik dalam rumah tangga. Pintu taubat masih terbuka selagi Allah mengizinkannya. Insaflah sebelum terlambat.
Menutup catatan, pesanan saya, kekuatan itu terletak di hati, jika mahu berubah akan menjadilah ia, begitu juga sebaliknya. Allah tidak akan mengubah nasib seseorang jika orang itu sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya.
Salam

Sumber Utusan

No comments