Header Ads

Tips Memasak Kari Lebih Sedap

Kari yang sedap bergantung pada rempah karinya. Anda boleh sediakan sendiri rempah di rumah atau beli rempah basah daripada peniaga India di mana-mana pasar basah.

Anda juga boleh mencampurkan beberapa jenis rempah serbuk komersial yang ada di pasaran. Sebagai contoh, jenama A dan B. Cuba gandingkan kedua-dua jenis rempah untuk mendapatkan rasa kari yang enak. Ada juga yang menambah sedikit serbuk kunyit dan serbuk cili agar kari lebih pedas sedikit.

Jika memasak kari ikan, bahan penumisnya adalah halba, daun kari, dan biji sawi, bawang merah dan putih yang dimayang halus. Manakala bawang merah, bawang putih dan halia untuk kari ayam atau daging hendaklah ditumbuk atau dikisar. Bahan penumisnya pula ialah daun kari, kulit kayu manis, buah pelage, bunga cengkih dan bunga lawang.

Anda perlulah menumis sehingga naik bau bawang dan warnanya keemasan. Kemudian barulah masukkan pes rempah kari, kacau dan masukkan sedikit air. Apabila terbit minyak, barulah dimasukkan santan cair (untuk kari ikan). Pastikan juga sedikit garam dimasukkan semasa menumis rempah. Biarkan rempah benar-benar garing (naik minyak). Apinya sederhana dan kari dikacau selalu supaya santannya tidak pecah atau menjadi ketulan halus. 

Selepas ini anda bolehlah menghidangkan resepi kari kepada keluarga anda dengan lebih enak dan terkesan!

Oleh:Imah Mingguan Wanita

No comments

Powered by Blogger.