Adakah Anak Anda Alami Stres?
Dengar sahaja perkataan stres, ibu selalu menganggap ia merupakan situasi yang negatif dan tidak baik di mana ia sering menyerang orang dewasa sahaja. Hakikatnya, anak-anak juga boleh merasa stres tanpa diketahui oleh ibu itu sendiri. Bagaimana untuk mengetahui sama ada anak-anak berdepan stres atau tidak?
Kanak-kanak tidak mampu untuk meluahkan tekanan meskipun melalui kata-kata atau perasaan. Tetapi anda boleh melihat perilaku anak-anak dengan melihat perubahan sikap mereka seperti menangis, memberontak, mendiamkan diri, tidak bersosial, berkurung dalam bilik, mengingau dan sebagainya. Namun, ada juga kanak-kanak menunjukkan perubahan melalui fizikal seperti sakit perut dan sakit kepala.
Perlu diketahui bahawa punca anak-anak tertekan adalah atas faktor persekitaran seperti tidak suka pindah sekolah baru atau penjaga baru. Antara faktor lain adalah kematian salah seorang ahli keluarga, menghidap penyakit, didera atau diabaikan, masalah rakan sebaya dan masalah penceraian ibu bapa.
Jika anda mula perasan akan perubahan ini, bersedialah untuk mendengar masalah atau luahan mereka, bertanya kepada mereka, memahami lukisan yang disampaikan kerana ada sesetengah anak-anak tidak suka berkomunikasi, melayan anak-anak dengan mengajak melakukan aktiviti luar dan beriadah.
Di mana anak anda dan sudahkah anda melihat mereka hari ini? Perhatikan setiap gerak-geri fizikal dan emosi mereka sebelum terlambat!
Post a Comment