S : Saya mempunyai seorang anak saudara perempuan yang berumur tiga tahun. Anak saudara saya tidak mahu minum susu setelah berhenti minum susu ibunya setahun yang lalu. Pelbagai cara telah digunakan untuk menggalakkan dia minum susu tetapi gagal. Saya ingin tahu apakah makanan yang paling sesuai bagi menggantikan susu supaya anak saudara saya dapat nutrisi yang sepatutnya.

Nini
Durian Tunggal, Melaka

J :
Keperluan kalsium bagi kanak-kanak berusia tiga tahun adalah sebanyak 450mg sehari. Hal ini bermakna kanak-kanak memerlukan anggaran dua hidangan susu setiap hari. Sekiranya susu tidak digemari, makanan lain yang tinggi kalsium boleh menggantikan pengambilan susu. Makanan yang juga tinggi kalsium adalah seperti bayam, keju, yogurt, dan sumber soya seperti tauhu serta tempe. Pastikan pengambilan makanan tersebut mencukupi dan mengikut keperluan anak.


Selain kalsium, pengambilan tenaga dan nutrien utama seperti karbohidrat, protein dan lemak juga penting. Rujuklah piramid makanan yang menggariskan pemakanan lengkap dan seimbang bagi memastikan anak mendapat khasiat secukupnya untuk perkembangan dan pertumbuhan yang sihat. Jadual di bawah menunjukkan kandungan kalsium di dalam setiap makanan.



Oleh: Editorial PaMa