Header Ads

Rawat ketiak Hitam

Muka putih bersih dan kulit badan mulus namun masih ramai kaum Hawa yang tidak selesa kerana dibelenggu dengan masalah kesan hitam di ketiak.

Walaupun kedudukannya sulit dan tersembunyi tetapi kesan gelap ini mencacatkan penampilan dan membuatkan wanita berasa rendah diri terutama bagi golongan yang gemar mengenakan pakaian tidak berlengan.

Wanita yang bertudung tidak terlepas, mereka tetap merasa tempias masalah tersebut.

Bagi yang berstatus isteri pula, pasti berasa malu untuk mempersembahkan diri kepada suami.

Jangan terkejut jika selera suami tiba-tiba mati sebaik sahaja terpandang ketiak anda yang ‘berkarat’. Sebelum suami, teman-teman atau keluarga membuka mulut menegur kecacatan yang mengganggu pandangan mereka, lebih baik anda bertindak segera.

Bukan sekadar mencari kaedah rawatan atau penyelesaian tetapi anda juga mesti mengetahui punca berlakunya masalah ini. Ia akan membantu anda memahami, mencegah dan mengatasi masalah dengan cara yang tepat. Usah berlengah lagi, jom cantikkan diri!

Kenal pasti punca ketiak ‘berkarat’
  • Deodoran yang tidak sesuai serta penggunaan tidak tepat antara punca berlakunya masalah ketiak hitam dan tona kulit tidak sekata. Bagi yang mempunyai kulit sensitif, kandungan di dalam deodoran boleh menyebabkan masalah kulit seperti merengsa dan sebagainya. Sisa deodoran yang tidak dibersihkan dan bercampur dengan peluh dikhuatiri mengundang bakteria dan menyebabkan ketika menjadi hitam.
  • Ia juga disebabkan oleh perubahan hormon dan genetik contohnya ketika hamil.
  • Kaedah bercukur yang tidak betul akan menyebabkan kulit terluka dan meninggalkan parut. Penggunaan alat pencukur yang tidak bersih dikatakan juga faktor yang menggalakkan pembiakan bakteria dan ketiak menjadi gelap.
  • Selain itu, pakaian yang ketat terutama di bahagian lengan dikenal pasti antara penyebab ketiak menjadi gelap. Pergeseran antara ketiak dan baju membuatkan bahagian ini tidak selesa.

Cara mengatasi

1.      Mandi dengan sempurna dan gunakan sabun khas bagi membantu menghilangkan kesan gelap. Dapatkan nasihat doktor sebelum membeli sebarang produk termasuk sabun.
2.      Kenakan pakaian yang longgar dan menyerap peluh. Ia memberi ruang pengudaraan kepada tubuh.
3.      Gunakan bedak anti bakteria di bahagian bawah lengan selepas mandi. Bedak ini dikatakan dapat mengurangkan peluh.
4.      Disarankan melakukan rawatan wax berbanding mencukur kerana ia lebih selamat dan tidak membuatkan kulit di bahagian ketiak gelap.
5.      Jika masih memilih kaedah bercukur, pastikan alat cukur bersih dan pisau cukur tidak berkarat.
6.      Sental tubuh dengan skrub khas bagi menanggalkan sel mati dan menghilangkan daki serta parut.
7.      Elakkan menyembur minyak wangi di bawah ketiak, perbuatan ini menggalakkan pembiakan bakteria apabila peluh bercampur dengan pewangi.
8.      Pilih deodoran yang mengandungi unsur mineral seperti kristal, ia sesuai untuk golongan berkulit sensitif.


Petua tradisional

Limau + kapur sirih
Perah sebiji limau nipis dan campurkan dengan sedikit kapur sirih. Sapukan di bawah ketiak dan biarkan selama 15 minit sebelum dicuci dengan air bersih. Lakukan tiga kali seminggu.

Buah betik
Parut buah betik yang hampir masak sehingga halus. Letakkan ramuan ini di ketiak selepas anda mandi dan biarkan selama beberapa minit. Bilas dengan air, lakukan secara kerap, anda pasti berpuas hati dengan hasilnya.

Sirih + beras
Kisar segenggam beras sehingga halus. Kemudian tumbuk beberapa helai daun sirih sehingga lumat. Campurkan kedua-dua bahan tadi dan kacau sehingga sebati. Sebelum mandi, lumurkan dahulu campuran sirih dan beras tadi ke seluruh tubuh badan terutama di bahagian ketiak dan celah paha. Kemudian gosok-gosokkan ia dengan perlahan sehingga semua bahan yang telah dilumur tanggal dari badan. Petua ini bukan sahaja menjadikan kulit badan anda halus, malahan ia juga akan membantu menanggalkan daki dan kesan hitam.

MW

No comments

Powered by Blogger.