Header Ads

Cara banyakkan susu Ibu

SAYA baru sahaja selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Saya ingin menyusukan anak saya ini. Apakah kebaikan susu ibu dan bagaimana saya mahu menambah susu badan? Adakah suplemen tambahan yang sering diiklankan oleh media dapat membantu? Saya juga keliru kerana ibu menyuruh saya memakan jamu ketika berpantang. Tidakkah ia memberi kesan kepada bayi saya?
* Zu, Pulau Pinang

JAWAPAN
Amalan penyusuan ibu bukan sahaja sesuatu yang digalakkan oleh agama Islam malahan disokong oleh asas-asas saintifik. Dari segi isi kandungannya, susu ibu memang begitu lengkap sebagai makanan pertama dan utama bagi bayi. 

Susu ibu mengandungi zat-zat makanan yang cukup. Malahan nisbah zat-zat tersebut juga seimbang dengan keperluan seseorang bayi bermula dari masa kelahiran dan seterusnya. Kandungan zat tersebut juga sentiasa berubah mengikut keperluan seorang bayi dari semasa ke semasa. Tambahan pula susu badan mengandungi beberapa jenis antibodi yang dapat melindungi seseorang bayi itu daripada diserangi oleh cirit-birit, penyakit saluran pernafasan serta beberapa penyakit kulit yang tertentu.
Penyusuan susu ibu tiada bandingan dengan susu tepung atau susu formula atau susu lembu. Dengan memeluk anak kecil dan mengalirnya air susu daripada ibu kepada anak, maka kasih sayang ibu turut mengalir. 

Kesimpulannya, dengan penyusuan itu, semua kemahuan asas anak-anak dapat disempurnakan dan anak akan berpeluang hidup dengan baik dan teratur semasa dewasa kelak.RangsanganSeperti yang anda sedia maklum, payu dara perlu mendapat lebih banyak rangsangan daripada bayi bagi meningkatkan penghasilan susu. Selanjutnya, anda perlu melakukan beberapa perkara penting lain dalam usaha membuahkan hasil seperti yang diimpikan seperti kerap menyusu. Susukan bayi sekurang-kurangnya setiap tiga jam pada siang hari.

Jika bayi tidur lebih daripada tiga jam, kejutkan dia untuk menyusu. Pada waktu malam pula, kejutkan bayi untuk menyusu terutamanya jika dia tidur lebih daripada
empat hingga lima jam. Semakin kerap anda menyusukan bayi, semakin banyak susu yang akan terhasil. Jadi galakkan bayi untuk lebih kerap menyusu. Penyusuan sebanyak 10 hingga 12 kali atau lebih dalam tempoh 24 jam akan merangsang hormon prolaktin bagi menghasilkan lebih banyak susu. Ketika bayi menyusu, rangsangan sensori itu akan dikirim ke otak. Otak kemudian memberi reaksi mengeluarkan hormon prolaktin yang masuk ke dalam aliran darah menuju kembali ke payu dara. Hormon prolaktin merangsang sel-sel pembuat susu untuk bekerja dengan lebih kuat bagi mengeluarkan lebih susu.

KekerapanSelepas itu, anda juga perlu menambah masa dan kekerapan untuk bayi menghisap susu. Ini adalah asas dalam penyusuan susu ibu kerana secara dasarnya pengeluaran susu ibu adalah mengikut konsep pemberian susu mengikut kemahuan (supply and demand).Jika seseorang ibu lebih kerap menyusukan bayi mereka, maka lebih banyak susu yang akan dihasilkan. Anda juga perlu mengepam setiap kali selepas menyusukan bayi. Hormon prolaktin banyak dihasilkan pada waktu pagi, oleh itu luangkan sedikit masa untuk mengepam sebaik sahaja bangun tidur. Luangkan juga masa untuk menyusukan bayi sekerap yang mungkin ketika bersama mereka. Keberkesanan biasanya boleh dilihat selepas sekurang-kurangnya tujuh hari anda mempraktikkannya. Ada juga yang perlu menunggu lama sehingga dua minggu bagi melihat hasilnya. 

Mengikut pengalaman saya sendiri, mengepam pada masa yang tetap juga mempengaruhi pengeluaran. Walaupun ketika berada di tempat kerja, kita seringkali sibuk dan terleka dalam menyiapkan tugas yang diberikan, cuba sedaya upaya untuk menetapkan masa yang tetap untuk memerah setiap hari. Sediakan satu jadual mengepam yang tetap dan tuliskan jumlah hasil yang diperolehi setiap kali. Oleh itu, anda akan dapat melihat sendiri perubahan pada hasil perahan setiap kali memerah.

PemakananPengambilan pemakanan yang seimbang amatlah penting bagi ibu yang menyusu. Secara peribadinya, saya mendapati saya menghasilkan lebih banyak susu ketika kenyang berbanding dalam keadaan lapar. Sekiranya ibu-ibu sedang dalam usaha menurunkan berat badan, makan pada jumlah yang sedikit tetapi kerap bagi mengelakkan rasa lapar. Ini kerana dalam keadaan yang lapar, kita lebih cenderung makan berlebihan. Utamakan sarapan pagi kerana ia adalah permulaan hari anda.

Terdapat pelbagai jenis pemakanan atau suplemen yang menggalakkan pengeluaran susu telah dikomersialkan. Keberkesanannya bergantung kepada individu.Halba, oat, alfalfa, air soya, sawi, lobak putih, longan kering, daun kucai, kurma, jantung pisang dan betik muda merangsang pengeluaran susu ibu. Terdapat banyak juga suplemen yang dirumus bagi membantu ibu-ibu yang mengalami masalah pengeluaran susu di pasaran. Elok dapatkan nasihat yang lebih lanjut daripada pakar laktasi!

Makanan atau jamu (ramuan herba) yang dimakan oleh ibu dalam pantang akan memberi kesan kepada bayi susuan.Kesan tersebut akan disekresi melalui susu yang dihisap oleh bayi. Daripada pengamatan saya, ada bayi yang mengalami masalah kekuningan (jaundis) berpanjangan dan cirit-birit disebabkan ibu mengambil jamu semasa dalam tempoh berpantang. Pemakanan yang seimbang sudah mencukupi bagi ibu-ibu ini.Saya memohon berbanyak maaf jika maklum balas yang saya berikan berkenaan jamu menimbulkan ketidakpuasan sesetengah pihak.

No comments

Powered by Blogger.