Header Ads

Panduan ringkas tentang taugeh

sumber: utusan malaysia


                TENTU ramai masih ingat penemuan tentang taugeh mampu membantu meningkatkan kesuburan wanita dan merangsang peluang untuk hamil. Bagi kebanyakan kita, taugeh hanyalah sayuran biasa yang dihidangkan dengan pelbagai cara. Taugeh juga merupakan antara bahan penting dalam penyediaan mee, soto dan juga kerabu.

                  Biar pun tidak sebaris dengan sayur-sayuran ‘mewah’ seperti brokoli atau asparagus, namun dari segi khasiat serta zatnya, taugeh ternyata mempunyai kelasnya yang tersendiri.

    Kandungan proteinnya tinggi, manakala rendah lemak, tiada kolesterol, sodium yang sederhana menjadikan taugeh sayuran yang semestinya dinikmati. Apatah lagi taugeh juga kaya dengan vitamin B, folate, vitamin C, zat besi serta potasium.

Oleh kerana kekacang yang mengandungi kanji serta gula yang tinggi menghasilkan pucuk hijau yang dikenali sebagai taugeh maka sayuran itu menawarkan karbohidrat yang rendah berbanding kacang yang menjadi punca tanaman tersebut. Ia juga merupakan sumber makanan kaya dengan serat.

Panduan membeli dan menyimpan taugeh
* Pastikan taugeh segar dan rangup. Pucuknya juga mesti lembut. Semakin pendek taugeh semakin lembut teksturnya. Sememangnya agak sukar untuk menentukan kesegaran taugeh yang telah dibungkus. Petuanya, lihat hujung taugeh untuk menentukan kesegaran sayuran tersebut. Taugeh yang dijual dengan cara terendam di dalam mangkuk hendaklah disimpan di dalam peti sejuk. Taugeh yang dijual dengan cara tersebut juga hendaklah disenduk mengggunakan senduk atau sudu, elak menggunakan tangan.
* Elak taugeh yang lembik kerana ia telah kehilangan bahan pelembap di dalamnya serta vitamin C.
* Simpan taugeh di dalam peti sejuk menggunakan beg plastik untuk mengekalkan kesegarannya. Jika anda membeli taugeh yang telah siap dibungkus, keluarkan dan bungkus semula dalam plastik yang lebih besar untuk memberi ruang kepada sayuran tersebut dan mengelak ia daripada bertindih antara satu sama lain. Untuk memperoleh vitamin C, gunakan taugeh dalam masa beberapa hari selepas dibeli.
* Cuci taugeh menggunakan air sejuk untuk menghilangkan kotoran. Buang taugeh yang telah layu dan berwarna kekuningan. Buang akar taugeh sebelum dimasak.
* Jangan potong atau hiris taugeh sehingga anda ingin memasaknya. Menghiris taugeh terlalu awal menyebabkan kandungan enzimnya hilang dan merosakkan vitamin C yang terkandung di dalamnya.
* Proses memasak boleh merosakkan vitamin C yang terdapat di dalam taugeh. Untuk menyelamatkan vitamin C, kukus sayuran tersebut sebentar dan masukkan ke dalam ramuan lain sebelum digoreng ringkas.

1 comment: