Header Ads

Lelaki pun nak cantik


 LELAKI moden amat mementingkan penampilan diri. Bukan sahaja pakaian, wajah juga menjadi tumpuan. Lelaki kini tidak lagi malu mengunjungi pusat-pusat kecantikan. Bukan sesuatu yang memeranjatkan jika lelaki juga berminat menjalani rawatan kecantikan terutamanya pada wajah.
Saya sendiri menerima banyak e-mel dari kaum lelaki bertanyakan tentang teknik rawatan estetik yang sesuai untuk kaum Adam.

 Kebanyakan lelak itu di peringkat usia 40-an. Pada usia tersebut lelaki sememangnya semakin matang dan stabil dari sudut kewangan mahupun kerjaya. Gaya hidup yang aktif di kalangan lelaki juga menuntut stamina diri. Saya percaya penampilan yang muda dan bergaya haruslah sejajar dengan peningkatan dalam kualiti kesihatan juga.

 Umum mengetahui apabila usia mula meningkat maka peluang untuk diserang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis jantung dan kanser semakin besar. Oleh kerana fenomena itu sangat serius dan mengancam nyawa, maka kita seharusnya menyekat kehadirannya sebelum ia berlaku. Bak kata pepatah mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

 Dalam bidang perubatan anti penuaan, setiap masalah mesti dikesan dan dihindari sebelum ia terjadi. Dengan kata lain doktor mengesan dan merawat sebelum terjadinya penyakit. Konsep ini sebenarnya ibarat menyediakan payung sebelum hujan. Jika lelaki berusia 40-an mengadu letih dan kurang tenaga maka doktor perlu memeriksa paras hormon di dalam darahnya. Doktor juga akan mengesyorkan terapi ozon dan anti-oksida di samping penambahan hormon. Ia dilakukan bagi mengaktifkan kelenjar hormon di dalam badan. Masalah penampilan yang sering dialami lelaki adalah:



  • pigmentasi pada kulit






  • garis dan kedutan






  • wajah jatuh menggeleber dan tampak tua






  • rambut beruban






  • rambut botak






  • pori pori wajah kasar kerana kerap bercukur






  • kurang stamina dan kurang keinginan seks






  • kulit kusam dan tidak sekata






  • kulit gelap kerana pendedahan melampau pada matahari






  • obesiti



  • Perbezaan kulit lelaki
     Lelaki dan wanita mempunyai kulit yang berbeza. Ini kerana kulit manusia dipengaruhi hormon. Hormon testeron mempengaruhi kulit lelaki manakala hormon estrogen mempengaruhi kulit Wanita. Kulit lelaki mempunyai elastin dan kolagen yang lebih banyak berbanding wanita. Ini menyebabkan kulit mereka 20 peratus lebih tebal dan anjal serta tahan kepada kerosakan matahari. Sebab itu apabila berbanding usia, wanita lebih menunjukkan garis-garis halus berbanding dengan lelaki seusia. Namun begitu, semakin berusia, kulit lelaki menjadi semakin nipis, manakala ketebalan kulit wanita tidak berubah.

     Lelaki juga mempunyai pori-pori kulit yang lebih besar, kelenjar sebum yang lebih aktif dan mempunyai saluran darah lebih banyak. Oleh itu kulit lelaki kelihatan lebih kasar, lebih berpeluh dan berminyak. Lelaki yang mempunyai banyak bulu muka dan suka bercukur akan hilang satu lapisan hydrolytic film di permukaan kulit. Ini menyebabkan kulit menjadi lebih sensitif.
    Apabila usia menganjak ke 40-an lelaki juga tidak dapat lari daripada masalah penuaan. Wajah yang dimamah usia akan menyebabkan mereka tercari-cari rawatan yang sesuai.

    1) Modified Serdev
    Oleh kerana lelaki mempunyai wajah yang lebar saya menggunakan teknik Modified Serdev untuk mereka. Melalui teknik ini benang yang diperbuat daripada protein digunakan bagi mengangkat muka dan mengikatnya semula pada satu struktur kepala yang dinamakan temporalis fascia. Melalui cara ini wajah yang jatuh akan diangkat semula dan hasilnya wajah tampak lebih muda dan menarik.

     Teknik Modified digunakan kerana wajah lelaki agak lebar. Kawasan yang sering kendur adalah bahagian bawah dagu. Ini membuatkan leher tampak kendur dan menggeleber. Berbanding wanita pula kawasan yang mudah jatuh adalah pada pipi. Rawatan ini mengambil masa selama sejam dan hasilnya dapat dilihat sebaik saja selesai rawatan.

     Wajah kita terdiri daripada struktur tulang dan otot-otot muka. Apabila usia meningkat kulit kita turut mengalami perubahan dalam kandungan kolagen di dalamnya. Jalinan kolagen yang sedikit dan tidak kukuh membuatkan kulit menurun, tidak lagi anjal dan tidak tegang. Otot-otot juga mula mengalami kesan penuaan. Ia mula melendut menimbulkan garisan kecil yang menghala ke bawah.
    Saya pernah memberi penjelasan tentang teknik serdev. Dengan menggunakan benang khas yang dimasukkan ke bawah kulit kepala, kulit muka akan diangkat semula tanpa memerlukan pembedahan yang menyakitkan. Keistimewaan teknik ini adalah ia menggunakan benang yang diperbuat daripada protein, tidak memerlukan pembedahan, tidak sakit dan hasilnya tahan lama. Dalam masa beberapa bulan benang itu akan hancur di dalam tubuh kita namun hasilnya tetap cantik selama 10 tahun kerana berlakunya fibrosis pada bahagian muka yang diangkat. Fibrosis adalah proses semulajadi di mana bahagian muka yang diangkat melekat pada pada tempat yang betul dengan kekal.

    2) Filler
    Penggunaan Hyaluronic Filler turut penting dewasa ini. Filler menggantikan struktur lemak muka yang hilang dimamah usia. Ia mengisi ruang kosong yang menyebabkan muka tampak cengkung dan berlekuk seperti yang terdapat di pipi dan juga bawah kelopak mata. Garis halus yang muncul pada dahi di antara kening dan tepi bibir juga dapat diatasi dengan Filler. Terdapat pelbagai jenis Filler di pasaran dan saya suka mencadangkan Filler jenis berasaskan kalsium yang tahan lama dan tampak begitu natural sekali.

     Sebenarnya di dalam kulit turut terdapat hyaluronik asid yang dikeluarkan secara semula jadi oleh tubuh kita. Ia bersifat sebagai bahan yang mengisi ruang di dalam kulit membolehkan kulit tampak anjal. Apabila usia meningkat, penghasilannya juga kurang dan wajah tampak berlekuk. Adalah lebih baik bagi kita melakukan penambahan.

     Terdapat pelbagai jenis asid hyaluronik di pasaran dan kesemuanya mempunyai keistimewaan tersendiri .Bagi saya pemilihan haruslah mengikut kesesuaian dan usia juga. Bagi lelaki berusia 40-an saya mencadangkan penggunaan jenis berasaskan kalsium yang tahan lama.

    3) Laser bagi lelaki
    Bagi kaum lelaki penggunaan laser turut memainkan peranan yang penting. Laser yang saya cadangkan mampu meningkatkan paras kolagen secara semula jadi dan mengaktifkan semula sel-sel kulit. Di Marissa Aesthetik saya menggunakan pixel laser yang baik bagi meninggikan paras kolagen di dalam kulit. Laser sebegini bertindak pada permukaan kulit sahaja. Ia spesifik dan membolehkan pigmentasi turut dirawat dengan baik. Dengan kata lain ia membaiki struktur kulit dan menghasilkan kulit lebih gebu dan cerah. Pori-pori terbuka boleh diatasi dengan lebih berkesan.

    No comments

    Powered by Blogger.