Panduan Mengawal Berat Badan
sumber : majalah pengantin
Tentu memeningkan kepala anda, jika alat timbangan anda tidak berganjak dari angka yang anda harapkan. Sebaliknya, mungkin jarum penimbang akan meningkat naik. Sementelah pula, hari bahagia yang bakal menjelma hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Jangan bimbang, anda masih belum terlambat untuk mengurangkan berat badan. Ikuti cara mengawal berat badan melalui pengambilan makanan yang sihat dan senaman yang teratur seperti yang disyorkan di bawah.
1. Mengambil pemakanan yang sihat
• Memilih makanan dari bijirin, kekacang, ikan, ayam, buah-buahan dan sayur-sayuran.
• Kurangkan makanan yang berlemak dan berkalori tinggi. Sebolehnya, elakkan daripada makanan yang digoreng dan kurang berlemak.
• Tambahkan makanan yang berserat.
• Mengurangkan pengambilan gula dalam makanan anda.
• Elakkan daripada minuman berkarbonat, kek, biskut, dan jem.
• Hadapi tiga hidangan sihat sehari termasuklah sarapan. Makan secara perlahan-lahan, jangan melangkau hidangan anda kerana ia akan membuatkan anda menjadi bertambah lapar.
• Elakkan mengambil makanan kudapan atau snek di waktu malam.
• Sebaik-baiknya, pilihlah makanan mengikut tahap umur dan aktiviti anda.
2. Cara bersenam dengan baik
• Digalakkan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu seperti berjalan, berjoging, bersenam atau bermain badminton.
• Sekiranya anda mempunyai masalah sesak nafas semasa bersenam, bermakna anda melakukan senaman dengan melebihi had keupayaan anda. Jadi, mulakan senaman dengan perlahan-lahan mengikut keupayaan diri anda.
• Luangkan masa untuk melakukan aktiviti seperti ini selama 15-20 minit setiap hari atau tiga kali seminggu.
• Penurunan berat badan antara ½ atau satu kg seminggu adalah lebih baik. Ini bermakna anda perlu mengurangkan 500-1000 kalori. Jadi, dalam tempoh tiga bulan, anda kehilangan 6-12kg.
3. Kurangkan tekanan dan kerisauan
• Biasanya, kerisauan dan tekanan boleh mempengaruhi pola pemakanan anda. Sesetengah bakal pengantin yang mengalami kerisauan apabila persiapan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh tertentu akan cepat merasa lapar. Secara tidak langsung, anda ingin menikmati segala jenis makanan yang ada. Tentu akan menambahkan berat badan.
• Sebaliknya, ia menjadi satu kelebihan buat bakal pengantin jika kerisauan dan tekanan persiapan perkahwinan tergendala membuatkan anda kurang berselera untuk menyentuh makanan.
4. Sokongan
• Sokongan daripada ahli keluarga, bakal suami dan rakan-rakan dapat membantu anda mengekalkan motivasi mengurangkan berat badan.
• Selain itu, anda boleh menyertai pusat-pusat kecergasan berhampiran tempat tinggal anda.
Post a Comment