Ajar anak makan sayur
Sumber : Harian metro
APABILA beberapa ibu berkumpul di dapur, bermacam kaedah menyedia nasi goreng boleh diperhatikan kerana masing-masing ada cara sendiri mengikut selera anak.
Sebenarnya bukan kanak-kanak saja yang liat untuk makan sayur kerana orang dewasa juga begitu, terutama lelaki. Malah, ada juga beberapa rakan penulis yang memperuntukkan lima minit pertama di depan pinggan membuat saringan teliti pada makanan mereka supaya ia bersih daripada sayur-sayuran, termasuk yang dihiris kecil.
Apa yang membuat ada sesetengah orang begitu 'anti' dengan sayur-sayuran? Menurut pensyarah psikologi Universiti Washington, Dr Ilene Bernstein, lidah sensitif pada pelbagai rasa - manis, masam, pahit dan masin. Apa yang kita rasa itu sebenarnya adalah gabungan isyarat kimia pada lidah. Lidah kita juga diperkenalkan dengan rasa kelima dipanggil umami iaitu rasa lemak seperti pada serbuk perasa monosodium glutamat (MSD).
Katanya, rasa adalah satu 'produk' yang terhasil daripada gabungan bau, rupa dan bunyi makanan itu. Apabila kita makan sayur seperti timun, kita mahukan bunyi yang rangup apabila ia digigit. Apabila kita minum kopi, kita mahu menikmati keharuman kopi berkenaan. Bahkan inilah juga sebabnya apabila kita terhidu bau biskut coklat yang dibakar air, kita secara automatik terliur kerana aroma yang harum itu turut menceritakan rasanya.
Bagaimanapun, penerimaan rasa ini berbeza antara individu, bergantung kepada sifat semula jadinya dan didikan yang diterima. Kecenderungan pada makanan juga tertakluk kepada pelbagai faktor termasuklah genetik, pengalaman dan umur. Selain itu pengalaman juga memberi pengaruh besar kepada kecenderungan rasa. Manis, masin, pahit dan masam adalah rasa yang dipelajari. Jika sejak kecil kita sudah didedahkan dengan pelbagai rasa sayur-sayuran, maka ia akan lebih mudah diterima berbanding individu yang hanya ‘mengenali’ rasa sayur apabila dewasa.
Begitu juga dengan kesukaan pada rasa manis dan masin. Kajian menunjukkan semua orang ada kesukaan kepada rasa manis pada tahap berbeza. Kita dilahirkan mempunyai tindak balas automatik yang positif terhadap rasa manis sebaliknya kesukaan pada rasa masin dikatakan mempunyai kaitan dengan kecenderungan ibu pada makanan masin ketika mengandung.
Oleh kerana penerimaan ‘rasa terhadap sayur’ ini boleh dipelajari, ada beberapa panduan yang boleh dilakukan untuk menggalakkan pengambilan sayur iaitu: l Masukkan sayur yang agak disukai ke dalam sajian kegemaran. l Masak sup sayur, campurkan bahan-bahan yang digemari. Jika sebelum ini anda sudah pun memasukkan beberapa jenis sayur, tambah satu atau dua jenis sayur lain ke dalam sup anda sebagai kelainan. l Buat salad buah tetapi masukkan hirisan sayur yang berwarna warni supaya ia bukan saja menarik tetapi lebih banyak khasiat.
l Hidangkan sayur sebagai ulam dan pastikan ia dilengkapi sambal belacan atau budu mengikut kesukaan. Sayur mentah nampak lebih cantik dan membuka selera l Elakkan memasak sayur terlalu lama sehingga ia menjadi lembik dan nampak hodoh. Biasanya selera kita akan terbuka apabila melihat sayur yang dimasak nampak segar dan mempunyai warna menarik. Inilah sebabnya ramai orang lebih rela makan nasi tanpa sayur terutama jika sayur yang dijual itu dimasak terlalu lama hingga lembik atau kelihatan seperti makanan itik! l Jika anda memasak pizza (yang dibuat sendiri atau membeli pizza sejuk beku) taburkan hirisan kecil sayur-sayuran di atasnya. Antara sayur yang anda boleh gunakan ialah brokoli, batang saderi, lada benggala (hijau, kuning atau merah), bayam, tomato atau sayur sejuk beku seperti kacang, lobak merah dan jagung. l Buat jus sayur. Jika bimbang rasanya tidak boleh diterima, campurkan dengan buah-buahan untuk menaikkan rasanya.
l Pelbagaikan kaedah memasak sayur; usah terikat kepada tumis atau sup saja. Anda boleh masukkan sayur ke dalam ikan kukus, digoreng seperti bersalut tepung seperti goreng pisang. Jika mengikut istilah makanan Jepun, sayur goreng bersalut tepung ini dipanggil tempura dan ia boleh dimakan bersama sos dan kicap, mengikut selera anda. l Sesekali masukkan sayur campur ke dalam adunan jemput-jemput ikan bilis atau tambahkan lebih banyak sayur ke dalam cucur udang seperti tauge, lobak merah dan daun bawang untuk cucur udang. Pilih sayur yang tidak mempunyai rasa atau bau kerana ia boleh menjejaskan selera atau keinginan pada individu yang cerewet.
l Gril atau bakar. Barbeku - cucuk daging atau ayam berselang seli dengan sayur (lada benggala, zukini, cendawan, tomato dan bawang) atau gril sayur saja (asparagus) untuk dimakan bersama daging atau ayam panggang. l Selain membuat sandwic telur atau sardin, masukkan sayur seperti lobak merah yang diracik halus (atau disagat). l Jangan beri hadiah kepada anak (atau anda sendiri) kerana makan sayur. Kajian menunjukkan jika kita memberi hadiah kerana berjaya makan sesuatu, hadiah itu seolah-olah menjadi satu ancaman dan menyebabkan waktu makan bukan lagi waktu yang menyeronokkan. Lama kelamaan keinginan untuk makan sayur akan terpadam. l Sensitif dan peka dengan jenis sayur atau kaedah masakan yang tidak digemari keluarga. l Ajak anak untuk turut sama menyediakan makanan. Keseronokan membantu di dapur dapat merangsang minat anak untuk makan makanan yang disediakan bersama.
Post a Comment