Jenis Makanan Disarankan Semasa Hendak Bersalin
Bila sakit kontraksi hendak bersalin sudah menyerang, memang tak senang
duduk dibuatnya. Hendak makan dan minum pun rasa tak lalu. Tetapi ibu
perlu makan dan minum kerana ia penting untuk membekalkan tenaga
terutama apabila proses melahirkan anak sudah masuk ke fasa terakhir
iaitu meneran bayi keluar.
Selepas melahirkan bayi, ibu pasti akan terlalu penat dan letih. Jika
tidak cukup bekalan makanan, ibu boleh diserang masalah 'angin' dan
muntah beberapa jam selepas melahirkan bayi.
Kebanyakan ibu hamil berasa cepat lapar dan dahaga terutama di
peringkat awal sakit bersalin. Jadi, jangan risau untuk makan sedikit
snek kerana ia tidak akan membahayakan anda dan bayi. Sebenarnya ketika
sedang bergelut dengan sakit kontraksi di bilik bersalin, ibu boleh
mengunyah beberapa snek sihat atau minum sedikit air untuk memberikan
kelegaan dan mengurangkan kesakitan.
Apa jenis makanan yang boleh dimakan ketika ibu sakit di bilik bersalin?
Walaupun dibenarkan makan ketika sakit kontraksi, tetapi bukan bermakna
ibu boleh makan semua jenis makanan seperti ayam goreng, rojak,
pasembor, nasi ayam, piza dan makanan berat lain. Perlu diingat makanan
yang tinggi kandungan lemak boleh membuatkan perut terasa bertambah
berat seterusnya ibu boleh cepat lelah dan lesu. Sementara makanan
tinggi gula pula mudah dimakan dan memberikan tenaga pantas, tetapi
tenaga tersebut segera hilang dan ia membuatkan anda cepat letih.
Makanan berkarbohidrat pula bagus dimakan ketika hendak bersalin kerana
ia mudah dihadam dan memberikan tenaga secara perlahan. Ini membantu
anda melalui proses bersalin yang sangat meletihkan dan memerlukan
banyak tenaga.
Beberapa jenis makanan yang disarankan adalah
1. Kurma
2. Sandwic
3. Bijirin
4. Capati, roti nan atau roti bakar
5. Yogurt
6. Sup
7. Biskut kosong atau kraker
8. Pasta
Makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap berbanding makan terus dalam
kuantiti yang banyak. Makanan ini mengambil masa untuk hadam ketika
bersalin, kerana peredaran darah tertumpu di rahim ibu berbanding perut.
Ia menyebabkan anda berisiko untuk muntah jika makan dalam kuantiti
yang banyak.
Sedikit snek dalam setiap sejam ketika anda dalam peringkat awal
kelahiran akan membantu menyimpan banyak tenaga bagi kegunaan ketika
hendak melahirkan bayi kelak.
Sumber Pa&Ma
Post a Comment