IQ Tinggi Bila Rapat Dengan Ayah
Biasanya ibu akan menjadi orang yang paling sibuk sekali apabila anak
menghadapi ujian persekolahan. Ibu akan seboleh mungkin membantu anak
ketika belajar kerana mahu si kecil mendapat keputusan cemerlang. Tetapi
hakikatnya peranan ayah tidak kurang penting
dalam mendampingi anak
belajar.
Bimbingan terus daripada ayah dalam proses pembelajaran dapat memberi
kesan positif pada perkembangan fizikal, kognitif, emosi dan sikap anak.
Anak sememangnya mencari keselesaan daripada seorang ibu, namun ia
tetap memerlukan interaksi yang intensif dengan ayah.
Ada sebuah kajian yang dilakukan oleh University Oxford menunjukkan
bahawa ada kaitan antara perhubungan rapat ayah dan anak dan pencapaian
akademiknya di sekolah. Dikatakan anak yang banyak berinteraksi dengan
ayah mempunyai IQ lebih tinggi berbanding anak yang kurang berinteraksi
dengan ayahnya.
Bahkan, mereka juga memiliki kemampuan berbahasa dan kognitif yang
lebih baik. Kajian lain juga mendapati anak yang dididik dengan sempurna
oleh ayah mempunyai kurang masalah di sekolah dan apabila meningkat
dewasa.
Maka jelaslah bahawa ayah mempunyai peranan penting dalam kemampuan
akademik anak. Oleh itu ibu dan ayah perlu saling bekerjasama membahagi
tugas untuk membimbing si kecil menghadapi ujian.
Ayah bukan sekadar membantu anak mengulang kaji pelajaran tetapi
menyiapkan mental si kecil agar lebih yakin untuk menghadapi ujian
tersebut. Karektor ayah yang berbeza dengan ibu tentu dapat mencipta
corak pembelajaran yang berbeza berbanding ibu. Ciptakan suasana ceria
dan menyeronokkan agar anak lebih bersemangat untuk belajar.
Mungkin anda berdua boleh bermain kuiz mengenai pelajaran yang
dipelajari berbanding sekadar membaca yang tentu boleh membosankan si
kecil. Pelbagai kreativiti boleh dicipta bagi menimbulkan suasana
menyeronokkan semasa belajar. Jelas sekali interaksi ayah memainkan
peranan penting dalam membantu pencapaian positif si anak di sekolah.
sumber: pa & ma
Post a Comment