Jadilah Cermin Yang Terbaik
Seringkali pepatah menyamakan ibu bapa sebagai cermin kepada anak-anak.
Anak-anak umpama melihat cermin apabila mereka melihat tingkah laku dan
apa sahaja yang dilakukan oleh ibu bapa. Sebagai cermin seharusnya kita
ingin memantulkan gambaran paling baik.
Maka berhati-hatilah dengan segala tingkah laku dan percakapan kita di
hadapan anak-anak. Apa sahaja yang kita lakukan mudah sahaja akan ditiru
oleh anak-anak. Jangan fikir anak anda masih kecil dan tidak tahu apa
yang anda lakukan.
Bahkan pada usia kecil itulah mereka lebih cepat menyerap apa sahaja
yang diperhatikan di sekeliling. Maka jangan terkejut jika satu hari
nanti mereka turut akan mengeluarkan kembali perkataan tersebut atau
beraksi sama seperti anda (yang negatif).
Sekiranya anda sering menuturkan perkataan ‘tolong’ setiap kali meminta
sesuatu atau meminta bantuan dan ‘terima kasih’ jika menerima bantuan
atau barang, tentu sahaja ia akan menjadi ikutan si kecil kelak apabila
dia sudah pandai bercakap.
Namun jika anda memang jenis ibu ayah yang suka bercakap kasar tidak
kira terhadap anak-anak atau dengan pasangan masing-masing maka
bersedialah untuk turut menyaksikan anak bercakap kasar kelak.
Menetapkan peraturan dan disiplin dalam rumah yang mesti dipatuhi oleh
anak-anak sememangnya didikan yang baik. Misalnya seperti peraturan
tidak boleh makan sambil menonton televisyen, meletakkan baju kotor di
bakul yang sepatutnya, menyusun kasut dan banyak lagi. Ini kerana kajian
membuktikan anak-anak yang terbiasa dibesarkan dengan peraturan sejak
kecil akan lebih mudah mengurus diri apabila besar kelak.
Tetapi janganlah peraturan tersebut hanya dipatuhi oleh anak-anak
sahaja sedangkan anda selaku pembuat peraturan dan orang tua di dalam
rumah melanggar peraturan tersebut. Kata orang jangan jadi seperti ketam
mengajar anaknya berjalan. Menyuruh anak-anak berkelakuan baik tetapi
diri sendiri berkelakuan buruk.
Maka jadilah cermin yang terbaik kepada anak-anak!
Sumber PaMa
Post a Comment